Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menjalankan ujian liputan Internet di kawasan pinggir bandar, Kampung Batu Perak baru-baru ini mendapati perkhidmatan komunikasinya adalah baik.

Malah kemudahan jalur lebar talian tetap di kawasan berkenaan turut disediakan.

”Ujian liputan mudah alih yang dijalankan mendapati kelajuan Internet adalah memuaskan dan dilengkapi dengan teknologi 4G.

”Perkara ini turut disahkan sendiri oleh Ketua Kaum Kampung Batu Perak yang memaklumkan tiada isu komunikasi di kampung tersebut setakat ini,” kata SKMM.

Tindakan itu dibuat susulan aduan berkenaan liputan Internet lemah di kawasan itu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen baru-baru ini.

Dalam usaha bagi Sarawak yang lebih meluas. di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA), sejumlah 742 lokasi di kawasan pinggir bandar dan luar bandar Sarawak akan dibangunkan dengan menara telekomunikasi baharu bermula pada tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, 106 menara mula dibangunkan bermula April 2021 manakala kerja-kerja pembinaan menara bagi baki 636 lokasi dijangka bermula pada suku ketiga 2021.

Kesemua menara telekomunikasi baharu ini dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2022 dengan penawaran perkhidmatan 4G.

Selain itu, sejumlah 1,283 stesen pemancar telah siap dinaik taraf dengan perkhidmatan 4G pada tahun 2020 dan usaha ini berterusan sehingga suku pertama 2021 manakala sejumlah 1,606 stesen pemancar lagi sedang dalam proses penaiktarafan bermula pada tahun ini.

Di bawah inisiaitif JENDELA juga, SKMM turut membangunkan inisiatif penyediaan perkhidmatan jalur lebar melalui satelit yang mana sejumlah 523 lokasi telah dikenal pasti di Sarawak dan kini sedang di peringkat penilaian tender.

SKMM menambah, bagi projek jalur lebar talian tetap pula, pihaknya mensasarkan sejumlah 43,013 premis di Sarawak akan tersedia dengan akses kepada infrastruktur gentian optik bagi membolehkan perkhidmatan jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi.