Zeti Akhtar Aziz

KUALA LUMPUR – Di sebalik desas-desus kedudukan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sebagai Pengerusi di Permodalan Nasional Berhad (PNB), institusi pelaburan terbesar negara itu hari ini mengesahkan bahawa Zeti berhasrat untuk tidak memperbaharui jawatannya selepas tiga tahun memegang jawatan itu pada 30 April ini.

PNB dalam kenyataannya berkata, Zeti telah secara rasmi menulis surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) bagi menyampaikan hasratnya itu.

Susulan keputusan itu, PNB berkata, pelantikan pengerusi baharu akan diputuskan oleh Yayasan Pelaburan dalam masa terdekat.

Zeti dilantik sebagai Pengerusi PNB pada tahun 2018.

Mengulas keputusannya itu, Zeti berkata: “Kesempatan berkhidmat sebagai Pengerusi Kumpulan PNB selama tiga tahun ini ialah satu penghormatan buat saya, di mana PNB telah melaksanakan agenda transformasi organisasi dalam tempoh yang mungkin paling
mencabar dan transformatif pernah dialami.

”Hari ini, agenda transformasi ini telah mendorong potensi peningkatan prestasi dan inovasi yang lebih besar, serta kecekapan yang lebih tinggi.

”PNB kini berada dalam kedudukan teguh untuk melakukan yang lebih baik lagi pada masa depan dan meraih penciptaan nilai jangka panjang yang disasarkan demi para pemegang unit kami,” kata Zeti.

Dalam pada itu, Lembaga Pengarah, pasukan kepimpinan dan warga kerja PNB menzahirkan ucapan penghargaan kepada Zeti atas kepimpinan yang berwawasan dan sumbangan yang tidak ternilai beliau kepada PNB, ASNB dan syarikat Kumpulan
PNB sepanjang tempoh tiga tahun.

”Beliau membawa bersamanya hampir empat dekad pengalaman dalam perkhidmatan awam dan pengukuhan institusi, yang telah memberi banyak manfaat kepada PNB,” kata Ahmad Zulqarnain Onn, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan. – MalaysiaGazette