Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 286 individu ditahan polis kerana melakukan pelbagai kesalahan ingkar SOP, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 284 individu dikenakan kompaun, manakala dua lagi direman.

Jelas beliau, antara kesalahan direkodkan ialah gagal merekodkan butiran diri, daftar masuk premis seramai 125 individu, aktiviti pusat hiburan (22), tidak memakai pelitup muka (54), tiada penjarakan fizikal (49) dan lain-lain kesalahan (36 individu).

Katanya, semalam juga Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis telah melakukan 67,137 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seramai 3,350 Pasukan Pematuhan melibatkan 15,422 anggota telah membuat pemantauan di 4,323 pasar raya, restoran (5,269), kilang (2,017), bank (4,102), pejabat kerajaan (996) dan penjaja (4,607).

Turut dipantau ialah pasar awam/tani (2,419), tempat ibadah (3,562), tempat riadah (1,775), terminal pengangkutan darat (1,488), terminal pengangkutan air (358) dan terminal pengangkutan udara (117).

Bagi kawalan sempadan negara pula kata Ismail Sabri, dalam Operasi Benteng semalam, pasukan keselamatan telah menangkap tiga pendatang asing tanpa izin dan merampas lima kenderaan darat.

“Sebanyak 175 bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan.

“Op Benteng ini melibatkan polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi keselamatan lain yang bertugas di 271 Sekatan Jalan Raya (SJR),” katanya dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast