KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Kelantan mengulangi desakan Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki agar siasatan segera dilakukan atas pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, semalam, berkaitan wujud campur tangan menteri dalam institusi polis.
Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, dakwaan Abdul Hamid itu serius yang sekali gus mengesahkan wujud agenda ‘Scheme of Things’ sedang berjalan.
Jelas beliau, pendedahan itu juga menunjukkan fungsi Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah tergugat berikutan campur tangan orang politik.
“Negara digemparkan dengan pendedahan Ketua Polis Negara mengenai perihal tidak menggembirakan dalaman kerajaan Perikatan Nasional (PN) seolah menggunakan apa cara untuk mengekalkan kuasa mereka.
“Dakwaan ini amat serius memandangkan datang dari mulut Ketua Polis Negara, pemimpin tertinggi PDRM. Kita tahu fungsi polis ialah menjaga keamanan, tetapi apabila ini berlaku rakyat berasa tidak selamat dan negara menjadi kucar kacir.
“Justeru, Pemuda UMNO Kelantan sependapat dengan Dr. Asyraf agar siasatan segera dan serius daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat dijalankan secara tuntas tanpa mengira pangkat dan darjat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kata Noor Hariri, SPRM boleh mulakan siasatan dengan memanggil beberapa Ahli Parlimen PKR yang lompat parti baru-baru ini iaitu Dr. Xavier Jayakumar (Kuala Langat), Larry Sng Wei Shien (Julau) dan Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau).
Menurut beliau, Pemuda UMNO tidak mahu budaya lompat itu mencemarkan nama baik kerajaan hari ini, seolah boleh menerima sesiapa sahaja yang bermasalah, asalkan mendapat sokongan balas dalam undian di Dewan Rakyat.
Beliau juga mendesak SPRM bertindak sebaik mungkin di atas kemungkinan tiga faktor sogokan utama iaitu, kerana tidak tahan tekanan SPRM, kerana tidak tahan tekanan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kerana adanya habuan tawaran jawatan dalam Kabinet ataupun Pengerusi GLC. – MalaysiaGazette