Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mohd Nizam Yahya ketika ditemui di Bangunan Perkim, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Hanya sehelai borang, tidak perlu sokongan dan lima hari untuk tahu keputusan.

Itu adalah proses ringkas dan mudah yang perlu dilalui oleh mana-mana individu yang mahu memohon bantuan daripada Majis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP, Mohd Nizam Yahya berkata, MAIWP kini sudah kehadapan dan sentiasa berusaha memudahkan mana-mana pihak yang mahu mendapatkan bantuan daripada institusi itu.

“Borang kita bukan lagi lapan helai dan borang kita hanya satu helai malah proses sama ada lulus atau tidak hanya lima hari,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di pejabatnya semalam.

Mengulas lanjut, katanya, pemohon juga tidak perlu mendapat sokongan daripada mana-mana pihak atau cop daripada mana-mana pegawai.

Ini kerana pihaknya sendiri akan turun padang untuk menjalankan temuduga dan mengesahkan kesusahan mereka.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu MAIWP telah membantu seramai 25,000 ketua keluarga asnaf dengan bantuan sebanyak RM300 hingga RM1,000 sebulan sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara sejak tahun lalu.

Katanya, jumlah keseluruhan peruntukan yang dibelanjakan itu mencecah RM130 juta bertujuan membantu meringankan kos sara hidup mereka ketika tempoh sukar ini.

Beliau juga menggesa orang ramai yang mempunyai info berhubung individu yang memerlukan bantuan supaya menyalurkan maklumat kepada MAIWP secara terus atau menerusi aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MOJA).

Katanya, bagi mereka yang memerlukan bantuan boleh terus memohon kepada MAIWP dengan mengisi borang tanpa memerlukan pengesahan dari mana-mana wakil.

Kelmarin tiga ibu tunggal tampil dalam sidang media anjuran Kramat mendakwa mereka sukar mendapatkan bantuan daripada institusi berkaitan seperti pusat zakat dan majlis agama Islam sehingga terpaksa memohon kepada pihak gereja. – MalaysiaGazette