NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 15 pesakit Covid-19 terbunuh apabila sebuah hospital di barat India terbakar pada awal pagi ini.
Seramai 50 lagi pesakit di Hospital Kebajikan di Bharuch, Gujarat diselamatkan oleh kakitangan hospital dan anggota bomba, kata pegawai polis, Rajendrasinh Chudasama.
Kebakaran berlaku di wad Covid-19 di tingkat bawah dan dipadamkan dalam tempoh sejam, lapor agensi berita Press Trust of India yang memetik pegawai bomba, Shailesh Sansiya.
Punca kejadian masih lagi disiasat.
Pada 23 April lalu, sebuah unit rawatan rapi (ICU) dijilat api di Virar, Mumbai menyebabkan 13 pesakit Covid-19 maut. – MalaysiaGazette