KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa prihatin terhadap isu gaji minimum dan akan berusaha memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosioekonomi semasa, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, bagi tujuan itu, Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2020 sedang dijalankan dan berharap serta menyeru agar semua pihak yang ingin menyuarakan pendapat dan cadangan berkenaan isu itu mengambil bahagian dalam platform disediakan.
“Kita sentiasa memfokuskan kepada usaha mencipta peluang pekerjaan dan dalam aspek ini kerajaan telah membentuk Majlis Pekerjaan Negara bagi merealisasikan strategi menjana dan mengekalkan pekerjaan yang selaras dengan matlamat pertama Belanjawan 2021 iaitu “Kesejahteraan Rakyat.”
“Melaluinya, hasrat kerajaan untuk memulih dan merangsang sektor ekonomi dapat dilaksanakan dengan pendekatan menyeluruh, berpandukan data dan sepadan dengan permintaan industri semasa, di samping mengambil kira faktor kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja 2021 menerusi siaran langsung RTM, hari ini.
Tema sambutan Hari Pekerja tahun ini ialah “Pembudayaan Norma Baharu Dalam Dunia Pekerjaan Sejagat”.
Menurut Perdana Menteri, pelbagai inisiatif telah diambil kerajaan dalam memastikan rakyat mempunyai peluang pekerjaan yang luas.
Antaranya kata beliau, menyediakan perkhidmatan pekerjaan dan pemadanan kerja melalui Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara (MYFutureJobs), “one-stop centre” UpskillMalaysia, HRDF Placement Centre (HPC) dan Karnival Pekerjaan secara bersasar.
Katanya, antara inisiatif diperkenalkan kerajaan ialah menerusi program Short-term Employment Program atau MySTEP.
“Di bawah program ini, pemohon yang berjaya akan ditempatkan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) secara kontrak.
“Sehingga 16 April lalu, seramai 30,377 orang telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program MySTEP. Daripada jumlah ini, 27,503 ditempatkan di sektor awam, manakala 2,874 orang ditempatkan bersama GLC dan rakan-rakan strategiknya.
“Inisiatif ini disasarkan akan mengurangkan jumlah pengangguran, khususnya di kalangan lepasan universiti dan anak-anak muda kita,” katanya.
Muhyiddin berkata, hasrat kerajaan juga untuk memastikan kemakmuran negara dinikmati bersama tanpa ada sesiapapun yang tertinggal.
“Sudah tentulah, warga pekerja sebagai frontliners bidang ekonomi dan pembangunan negara mempunyai tugas dan peranan yang sangat penting untuk mencapai hasrat ini.
“Saya tidak nafikan walaupun banyak bantuan disediakan kerajaan, masih juga terdapat golongan pekerja yang terjejas dan akan mengambil masa lebih lama untuk kembali menikmati kehidupan seperti sebelum tercetusnya wabak Covid-19.
“Namun, saya yakin mereka akan kekal berdaya tahan dan saling memperkukuh dalam menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara,” katanya.
Justeru, katanya, peranan mereka mainkan sebagai rakan strategik dalam membangunkan ekonomi negara selama ini sangat penting dan dihargai kerajaan. – MalaysiaGazette