Rosli Abdul Jabar

KUALA LUMPUR – Konsensus Pas dan UMNO Pahang akan mengekalkan status quo masing-masing untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, pengekalan status quo itu sebagai lambang hubungan Muafakat Nasional (MN) kedua-dua parti itu di negeri berkenaan.

Katanya, keputusan diumumkan bersama Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail itu juga membuktikan keikhlasan persaudaraan kedua pihak demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Ia juga petunjuk kekuatan agenda penyatuan dan perpaduan ummah yang membawa kepada termeterai Piagam MN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada 14 September 2019 lalu.

“Jika PRU 14 dahulu Pas dan UMNO dua pihak yang terasing, PRU 15 ini kami bangkit sebagai satu pasukan. Seluruh kekuatan umat Melayu-Islam khususnya akan terhimpun bersama menjadi sokongan lebih ampuh.

“Dengan muafakat ini, kita yakin kerusi komponen Pakatan Harapan (PH) terutama DAP akan berpindah milik kepada MN, sekali gus terus menerajui Pahang,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Rosli, Pas dan UMNO bukan sahaja perlu menjamin kemenangan majoriti dua pertiga, tetapi memastikan tiada lagi pembangkang yang membawa haluan berbeza dari Perlembagaan Negara.

Jelas beliau, gabungan kedua parti itu dalam pentadbiran kerajaan negeri selepas PRU 15 kelak akan membawa Pahang ke tahap lebih tinggi dalam mensejahterakan rakyat serta memakmurkan negeri.

“Ini akan direalisasikan dari pengalaman, kompetensi dan kepakaran sedia ada dari kedua-dua parti sebagaimana keharmonian ditunjukkan penggal pemerintahan pasca PRU 14 ini.

“Penegasan Pas dan UMNO Pahang juga selari dengan pendirian MN di peringkat pusat yang berusaha menyatu dan memperteguhkan kembali negara ini dari agenda yang dimeterai.

“Adapun pada sudut pendekatan dan strategi politik, tindakan dan kepatuhan Pas Pahang tetap tertakluk kepada arahan semasa pucuk pimpinan dan ketetapan dasar dari Majlis Syura Ulamak Pas,” katanya.

Dari sudut jentera akar umbi, Rosli menjelaskan, parti itu sentiasa dalam siap siaga di semua Parlimen dan DUN untuk mengekal atau membantu memenangkan calon MN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.