ACP Mohamad Zainal Abdullah

KUALA LUMPUR – Penganjur himpunan #Buka Puasa Parlimen yang berlangsung di hadapan bangunan Parlimen petang semalam akan dipanggil polis untuk diambil keterangan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, mereka berhimpunan tanpa sebarang kebenaran atau notis pemberitahuan kepada polis.

Kata beliau, kertas siasatan dibuka dibawah Seksyen 9(5) APA 2012 (Perhimpunan Tanpa Notis)

“Pada jam lebih kurang 6.40 petang semalam, pengadu telah mengetuai sepasukan polis dari IPD Dang Wangi telah melaksanakan tugas menjaga keamanan di Jalan Parlimen.

“Semasa pemantauan dibuat di lokasi, terdapat lebih kurang 90 orang peserta berkumpul terdiri daripada pimpinan dan Ahli parti Muda dan Pejuang dan peserta perhimpunan telah bersurai secara aman jam 8.30 malam.

“Ucapan telah diberikan dan menyatakan mengenai tuntutan yang meliputi isu Undi 18 dan juga membuka semula Parlimen serta menamatkan perintah darurat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pemantauan pasukannya juga mendapati kumpulan itu memaparkan beberapa plakad yang menyatakan  ‘Rakyat Bangkit’, ‘Tamat Darurat’, ‘Bekerja Untuk Rakyat’, ‘Buka Parlimen Dan Tamat Darurat’, ‘Undi 18 Now!’, ‘Kerajaan Gagal’ dan ‘Sudah Daftar Sebagai Pengundi?’.

Kata Mohamad Zainal, Cawangan Lesen Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi tidak menerima permohonan daripada mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan tersebut.

Namun jelasnya, tiada sebarang tangkapan dan rampasan dilakukan dan perhimpunan itu berlangsung secara aman.

“Kesemua yang dikenalpasti terlibat dalam perhimpunan ini akan dipanggil memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette