UMNO Shahrir Abdul Samad
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad secara sinis menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan unsur rasuah berkaitan ahli politik yang lompat parti bagi mendapatkan habuan.

Shahrir berkata, mustahil untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyiasat mengenai perkara itu sedangkan ia sendiri adalah kerajaan yang terdiri daripada ‘katak’ atau pembelot.

“Takkan kerajaan PN nak siasat katak politik!.

“Dia kerajaan katak!,” katanya dalam laman Facebook hari ini.

Bekas Pengerusi Felda itu mengulas gesaan Abdul Hamid yang menggesa SPRM campur tangan mengenai dakwaan berunsur rasuah berkaitan ahli politik melompat parti bagi mendapatkan habuan.

Abdul Hamid berkata, pihaknya memerangi rasuah dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun dalam politik rasuah berlaku di mana-mana.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata, gesaan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk Parlimen bersidang juga tidak dilayan.

“Surat Azalina dah dua. Yang pertama pun Peguam Negara tak terjawab.

“Menteri Undang-Undang hanya minat pada ‘Sains dan Data’, bukan undang-undang.

“MACC yang nak siasat? Ha. Ha,” kata beliau.

Azalina sebelum ini melahirkan rasa bingung mengapa kerajaan tidak boleh atau enggan memudahkan proses untuk mengadakan sidang Parlimen seperti yang diamalkan oleh negara lain ketika darurat ini.

Azalina yang merupakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata, antara langkah yang boleh diambil oleh kerajaan bagi memudahkan sidang Parlimen termasuklah mengurangkan kuorum Ahli Parlimen yang hadir. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Haaa.. kata kata ini klu keluar dr mulut pemimpin parti ni, aku caya sgt. Sbb diorg ada pglaman. Penyamun mana mahu siasat penyamun. Skang dia tgk org lain pun mcm diorg rupanya.

  2. Rasanya hanya YDPA shj tg boleh menyelesaikan kemelut pentadbiran kerajaan yg ada skrg, jika tidak diambil tindakan segera dikhuatiri negara akan bergolak ekonomi semakin merudum suasana makin meruncing dan akhirnya rakyat yg sengsara akibat kerajaan yg lemah dlm sistem pentadbiran.

Comments are closed.