Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin menyampaikan sumbangan kepada bekat atlet kebangsaan pada majlis tersebut dengan kerjasama Perbadanan PR1MA Malaysia dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di Hotel De Palma, Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 01 MEI 2021.

AMPANG – Penutupan 22 bazar Ramadan di seluruh negara selama tiga hari adalah untuk memudahkan pengesanan kontak kes Covid-19.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamarudin berkata, di Kuala Lumpur sahaja sebanyak 136 kes kontak rapat Covid-19 masih bebas.

“Menyedari hakikat ini kita tidak boleh meneruskan operasi bazar yang terjejas kerana kita kena mengesan dan mendapatkan kesemua kes positif itu untuk proses saringan Covid-19 dan tindakan itu perlu disegerakan.

“Bayangkan hampir 1,000 atau lebih tepat 904 kontak yang datang ke bazar Ramadan dikesan positif Covid-19 tetapi masih berlegar.

“Maka kita ambil tindakan pantas menutup bazar yang terbabit untuk memudahkan pengesanan kontak itu dan pelaksanaan saringan calitan atau swap test dilakukan secara berkesan,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan kepada 34 bekas atlet negara di Ampang di sini, hari ini.

Ditanya mengenai nasib peniaga bazar yang ditutup, Zuraida berkata, pihak berkuasa tempatan mencari jalan penyelesaian seperti menghulurkan bantuan khas.

Sementara itu, Zuraida menafikan berlaku perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pengunjung bazar.

“Itu tidak betul, sebab saya sendiri telah turun memantau bazar Ramadan di kawasan Parlimen Ampang dan mendapati pengunjung Bazar Ramadan mematuhi SOP di pintu masuk bazar dan juga ketika berada di dalam gerai bazar berkenaan sepanjang masa.

“Soal perlanggaran SOP di bazar tidak timbul ketika ini kerana di Ampang sahaja 300 penguatkuasa memantau keadaan dengan dibantu oleh ahli majlis dan NGO setempat untuk memastikan kawalan SOP sentiasa terjaga dan tidak terjejas,” kata beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast