Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Campur tangan Menteri Dalam Negeri berhubung urusan kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan pegawai polis memperlihatkan hilangnya integriti serta kepercayaan rakyat dan pelabur terhadap keselamatan negara.

Campur tangan yang didedahkan menerusi penularan rakaman perbualan Datuk Seri Hamzah Zainuddin itu telah memalukan institusi polis, sekali gus menjejas keselamatan negara.

Menurut Ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, lebih-lebih lagi yang terlibat adalah Menteri Dalam Negeri.

Sehubungan itu, katanya, Wira Putra menggesa Hamzah meletak jawatan atau Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar membuat pertimbangan dengan mengambil tindakan tegas bagi mengembalikan semula imej dan integriti PDRM.

“Muhyiddin perlu menggugurkan Hamzah selaku Menteri Dalam Negeri atau paling tidak pindahkan beliau ke kementerian lain.

“Pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus dilihat sebagai penyangak politik selagi mana tiada tindakan diambil, lebih lagi apabila Hamzah sendiri mengakui rakaman itu adalah suaranya.

“Janganlah jadi pemimpin bacul, kesalahan rakyat terus dihukum, kesalahan pemimpin lawan dihenyak rapat ke dinding, tetapi kesalahan rakan sekongkol dibiar bebas tanpa sebarang tindakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nasrul Ali Hasan turut menyangkal, walaupun tugas menteri itu sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) terlibat dalam penentuan tugasan pegawai polis, tetapi ia bukan lesen untuk mengadakan atau membuat keputusan di luar mesyuarat.

Hal ini, katanya, jelas menunjukkan sikap buruk sebenar seorang ahli politik yang dikatakan berpengalaman telah melanggar etika dan tatacara dengan membuat keputusan melalui pakatan di luar mesyuarat serta lebih buruk lagi hanya menerusi panggilan telefon.

Beliau menekankan, kerajaan segera mengambil tindakan ke atas Hamzah sebelum terlambat untuk membuat langkah pembetulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast