Salahuddin Ayub
Dr Mohd Mazri Yahya.

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan yang mahu  sekurang-kurangnya 80 peratus daripada rakyat di negara ini diberikan vaksin Covid-19 adalah bertepatan dengan amalan yang dilakukan di seluruh dunia.

Pengerusi Lajnah Kesihatan Pas Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya berkata, kesan pandemik yang melibatkan dunia pada hari ini telah menyebabkan tiada satu pengeluar vaksin dapat membekalkan jumlah yang banyak dalam waktu yang singkat.

Menurutnya, isu yang berlegar di media maya berhubung dengan kesan sampingan vaksin Vaxzevria yang dikeluarkan oleh syarikat Farmaseutikal AstraZeneca dengan kerjasama Universiti Oxford telah disebar secara berlebihan tanpa berdasarkan bukti sains.

“Sehingga hari ini data-data perubatan menunjukkan kebaikan vaksin tersebut jauh melebihi keburukannya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, isu saluran darah tersumbat yang dilaporkan berlaku adalah sekitar 1 dalam 100,000 penerima iaitu 0.001 peratus, jauh lebih kecil berbanding 2.9 juta kematian daripada 139 juta orang yang dijangkiti Covid-19 iaitu sekitar dua peratus.

Justeru katanya, Lajnah Kesihatan Pas Pusat menyokong usaha kerajaan untuk membuka tempahan dalam kalangan rakyat untuk mendapatkan suntikan vaksin Vaxzevria keluaran Astrazeneca itu.

“Bagi menyahut usaha tersebut, Pas menggalakkan setiap ahli Pas di Selangor dan Wilayah Persekutuan untuk bersama-sama mendaftarkan diri secara sukarela untuk proses vaksinasi tersebut,” tambahnya. – MalaysiaGazette