Sebuah hospital di India menampal notis tidak mengambil pesakit baharu disebabkan kekurangan bekalan oksigen. foto Reuters

NEW DELHI – India yang mengalami gelombang kedua Covid-19 yang dahsyat telah mencatatkan lebih daripada 400,000 kes pada hari Sabtu.

Pihak berkuasa melaporkan 401,993 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam sebelumnya, selepas 10 hari berturut-turut merekodkan lebih daripada 300,000 kes harian.

Kematian juga terus meningkat sebanyak 3,523 orang, menjadikan jumlah keseluruhan bertambah kepada 211,853, menurut Kementerian Kesihatan.

Lonjakan jangkitan telah menyebabkan kebanjiran pesakit di hospital, bilik mayat dan krematorium.

Walaupun India merupakan pengeluar vaksin Covid-19 terbesar di dunia, kekurangan bekalan vaksin di beberapa negeri menghalang program vaksinasi untuk golongan dewasa.

Keadaan semakin buruk apabila India juga mengalami kekurangan bekalan oksigen.

Di Hospital Batra, dekat sini, lapan orang meninggal dunia termasuk seorang doktor apabila hospital itu kekurangan oksigen.

New Delhi memerlukan 976 tan oksigen dan kelmarin hanya 312 tan oksigen diberikan.

“Bagaimana New Delhi bernafas dengan oksigen rendah?” tanya Ketua Menteri Kejriwal dalam ciapannya.

Susulan kes Covid-19 yang masih mengganas, Kerajaan India akan melanjutkan sekatan pergerakan dalam tempoh tujuh hari lagi. – MalaysiaGazette