Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali menasihati pesalah yang ditahan dala Ops Khas Motosikal di Kuantan malam semalam.

KUANTAN – Seorang anggota polis berpangkat sarjan bergadai nyawa  apabila dirempuh seorang  penunggang motosikal yang cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya di Tanjung Lumpur malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, usaha mengesan suspek yang merempuh anggota polis sehingga cedera di bahagian kaki itu melarikan diri dan kini masih dijejaki.

Dalam insiden itu, anggota polis berusia 46 tahun merupakan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuantan patah pergelangan kaki dan dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

Gambar sumber : IPD Kuantan

“Anggota dirempuh ketika operasi mengalami kecederaan patah pergelangan kaki kanan dan telah dibawa ke HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan) untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil pemeriksaan pihak polis telah mengeluarkan sebanyak 218 saman atas pelbagai kesalahan. Dalam operasi malam tadi, anggota polis telah memeriksa 156 motosikal dan menahan 161 individu berusia 18 hingga 35 tahun.

“Sebanyak 90 kes melibatkan kesalahan nombor plat, 47 kes tiada cermin sisi, 33 kes ubah suai motosikal , 24 penunggang tiada lesen,16 ekzos bising dan lapan kes lain-lain.

“Manakala sebanyak 31 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata Mohamad Noor kepada media hari ini.

Jelasnya, seksyen itu melibatkan kesalahan mengubah suai struktur kenderaan seperti ubah suai ekzos, tiada nombor pendaftaran, nombor plat fancy dan menunggang tanpa lesen.

ARTIKEL BERKAITAN:

Anggota trafik IPD Kuala Muda maut dalam kemalangan

27 individu ditahan dalam Ops Samseng Jalanan

Bagaimanapun Mohamad Noor berkata, tiada rekod kenderaan curi dilaporkan atau individu dikehendaki dikesan dalam pemeriksaan operasi tersebut.

Sementara itu, Ops Khas Motosikal bermula 9.30 malam tadi melibatkan kekuatan dua pegawai dan 12 anggota daripada cawangan trafik dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan itu telah bertindak atas aduan dan maklumat orang ramai.

Hadir sama Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuantan, Asisten Supritendan Suhaimi Mohamad. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sita jer motosikal setan-setan rempit untuk dilelong dengan harga mampu milik kepada yang benar-benar memerlukan motosikal untuk kelangsungan hidup.

Comments are closed.