Kapal bawa muatan diesel terbakar di Habour Trade Centre Lebuh Macallum, Pengkalan Weld hari ini.

GEORGE TOWN –  Dua pekerja kapal melecur pada badan selepas sebuah kapal yang membawa muatan diesel terbakar dalam kejadian di Habour Trade Centre Lebuh Macallum, Pengkalan Weld di sini hari ini.

Kejadian berlaku pada jam 3.50 petang ketika empat pekerja kapal itu berada di lokasi, namun dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.

Anggota bomba melakukan kerja-kerja memadam api di lokasi kejadian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Moktar berkata, kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran dilakukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai, Jalan Perak, Bagan Jermal dan Bayan Baru sebaik pihaknya terima panggilan kecemasan pada jam 4.02 petang.

Katanya, tindakan pantas pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak pada jam 4.44 petang.

“Hasil siasatan mendapati kebakaran tercetus pada bahagian pam yang digunakan bagi menyalurkan minyak ke kapal lain.

Salah seorang pekerja kapal berkenan melecur akibat kebakaran tersebut.

“Akibat kejadian itu, dua pekerja kapal yang berusia 30-an dan 50-an melecur pada bahagian badan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Tambah Saadon, kapal terbabit dipercayai membawa muatan sebanyak 150,000 liter minyak diesel.

Keadaan kapal bawa muatan diesel terbakar.

“Kita sedang melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan kapal manakala mangsa cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi rawatan lanjut.

“Kita juga sedang mengenalpasti berapa lama keberadaan kapal itu di sini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast