PUTRAJAYA – Sebanyak 32,132 artikel dan laporan berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan rasuah telah disiarkan menerusi empat medium utama iaitu media cetak, televisyen, radio dan portal berita sepanjang tahun 2020.
Timbalan Ketua Pengarah (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd. Jamil berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 8,486 disiarkan di media cetak, 4,266 di televisyen, 345 di radio manakala 19,035 pula di portal berita.
Jelas beliau, ia membuktikan betapa besarnya liputan yang diperolehi SPRM dan yakin perkara yang sama turut berlaku pada tahun ini.
“Namun di sebalik liputan yang meluas ini, masyarakat perlu tahu apakah cabaran dan hala tuju SPRM dalam keadaan kami mendepani cabaran-cabaran menangani rasuah secara berkesan, baik menerusi sudut pengoperasian, pencegahan mahu pun pendidikan masyarakat.
“Oleh itu, setiap peranan SPRM perlu diperjelaskan lagi kepada umum secara berterusan supaya tahap keyakinan masyarakat terhadap SPRM lebih meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Libat Urus Bersama Media Sempena Hari Kebebasan Media Sedunia di sini hari ini.
Shamsun Baharin memberitahu, menerusi kajian Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah yang dilakukan oleh SPRM mendapati tahap pengetahuan masyarakat mengenai rasuah meningkat setiap tahun iaitu pada 2018 pada 72.5 peratus, 2019 (74.3 peratus) dan 2020 ada adalah 77.7 peratus.
Selain itu, kata beliau, tahap kesanggupan, kesediaan dan kerjasama masyarakat untuk bersama-sama SPRM juga meningkat setiap tahun sejak 2018.
“Tahap kesanggupan masyarakat pada 2018 merekodkan pada kadar 82 peratus, 2019 (82.7 peratus) dan 2020 (86.3 peratus) manakala bagi tahap kesediaan masyarakat pada 2018 (81.1 peratus), 2019 (82.1 peratus) dan 2020 adalah 85.6 peratus.
“Bagi tahap kerjasama masyarakat bersama SPRM pula, pada 2018 adalah sebanyak 81 peratus diikuti 81.8 peratus pada 2019 dan 84.6 peratus pada tahun 2020,” katanya. – MalaysiaGazette