KUALA LUMPUR – Satu lokaliti di Pahang akan diletakkan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula jam 12.01 tengah malam esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti itu melibatkan Taman Tanah Putih Baru, Kuantan berikutan situasi semasa kes positif Covid-19 yang menunjukkan peningkatan.
Beliau berkata, sehingga hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah merekodkan 11 kes daripada keseluruhan 40 ujian saringan yang dilakukan ke atas penduduk di taman tersebut.
KKM juga, katanya, mengesahkan berlaku penularan kes di lokaliti tersebut, selain terdapat 29 sampel ujian saringan masih menunggu keputusan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti ini berkuatkuasa 5 Mei hingga 18 Mei ini.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan warga Taman Tanah Putih Baru yang berisiko dijangkiti Covid-19 kekal berada dalam kawasan dan tidak menjangkiti komuniti di luar,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Pada masa sama, beliau menjelaskan, PKPD itu juga bagi membolehkan KKM menjalankan pengesanan awal kes disyaki Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin.
Katanya, SOP PKPD sama seperti yang telah diumumkan sebelum ini dan untuk maklumat lanjut boleh rujuk di laman sesawang MKN iaitu https://www.mkn.gov.my
Menurut Ismail Sabri, dalam mesyuarat hari ini juga, kerajaan memutuskan untuk menamatkan PKPD di lima lokaliti di Hulu Besut, Terengganu.
Jelas beliau, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan FELCRA Keruak.
“Pelaksanaan PKPD di lima lokaliti ini dijadualkan tamat pada 4 Mei ini dan dalam tempoh itu, KKM telah melakukan sebanyak 2,468 ujian saringan dengan 107 daripadanya positif Covid-19.
“KKM memaklumkan trend kes telah menurun dan kluster adalah terkawal, manakala kes terakhir direkodkan pada 20 April lalu iaitu empat kes dengan semua kes positif telah dirawat dan semua kontak rapat telah tamat tempoh pemantauan selama 14 hari,” katanya.
Beliau juga turut menyatakan penamatan tempoh PKPD di Maahad Tahfiz al-Quran Wa Qiraat, Pulai Chondong, Machang, Kelantan mulai esok selepas berlaku penurunan kes dan kluster terkawal sementara kes terakhir pula direkodkan pada 30 April lalu iaitu 16 kes. – MalaysiaGazette