Gambar Hiasan

KALAU ikut cakap-cakap dan juga khabar angin, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 mungkin akan berlaku dalam masa beberapa bulan akan datang. Kesahihannya masih sama-samar. Namun kalau kita amati dari gerak kerja yang telah dilakukan oleh sebilangan ahli politik dari parti politik tertentu, mungkin ada benarnya.

Keadaan politik Malaysia kini, pada pendapat peribadi saya, tiada kepastian yang kukuh parti mana yang akan mendominasi kerusi di Parlimen mahu pun di Dewan Undangan Negeri nanti. Keadaan agar carca marba – walaupun ada daripada mereka yang berada di blok kerajaan namun lagak mereka sepertinya pembangkang. Berkata-kata bagaikan mereka bukan sebahagian dari Kabinet yang membuat dasar dan keputusan memacu negara ini.

Trend sokongan rakyat juga kalau diperhatikan di media sosial agak bercampur baur. Kalau kita lihat di Twitter, mungkin ramai yang bersikap pro – pembangkang dan non partisan. Di Facebook pula, semestinya kerajaan Perikatan Nasional mengungguli. Namun kita tidak boleh mengambil kira hal ini sebagai penanda aras bagi menentukan parti mana yang boleh memenangi PRU 15 nanti. Sebagai contoh, jika kita lihat sokongan sewaktu Pilihanraya Negeri Sabah tahun lepas, kalau mengambil kira dari “hype” yang dipamerkan di media sosial, Warisan+ sepertinya boleh menang besar. Namun apabila diterjemahkan kepada undian, ternyata ia tidak benar. Maka dengan itu, setiap parti politik tidak boleh duduk selesa dan bersenang-lenang jika mereka ingin menjadi kerajaan.

Pakatan Harapan sudah semestinya harus bekerja keras kali ini untuk memastikan bahawa calon yang mereka bawa kali ini mempunyai integriti yang tinggi dan tidak lagi mempunyai genetik katak. Sudah tentu pengalaman sebagai kerajaan selama 22 bulan membantu sedikit sebanyak, akan tetapi, sepanjang 22 bulan juga terdapat beberapa perkara yang mereka tidak dapat laksanakan. Mungkin ia adalah kerana pada masa itu sudah wujud gerakan dari persatuan katak-katak ini, maka beberapa perkara termasuklah beberapa manifesto yang dijanjikan tidak dapat dilaksanakan. Ini antara perkara yang perlu diberikan perhatian jika nanti Pakatan Harapan menjadi kerajaan semula. Mereka tidak lagi boleh memberikan alasan bahawa mereka adalah kerajaan baru yang sedang berusaha untuk memperbaikan kebobrokan yang sudah lama menjadi penyakit dalam sistem politik dan pentadbiran negara kita. Belajar dari kesilapan yang lalu.

Pakatan Harapan juga kini perlu mengelak konflik dalaman antara parti-parti yang bernaung di bawah konsensi Pakatan Harapan ini. Tuduh-menuduh dan bertikam lidah antara pemimpin akan merencatkan sokongan terhadap Pakatan Harapan. Mereka seharusnya sudah mula membuat ketetapan – seperti mana mereka mengadakan ketetapan baru-baru ini bahawa calon Perdana Menteri mereka adalah tidak lain dan tidak bukan, Presiden Parti Keadilan Rakyat – Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini sahaja tidak cukup untuk meraih undi dan memenangi PRU 15 nanti. Mereka perlu mempunyai formula yang kuat, seperti mana ketika mereka menghadapi PRU 14 yang lalu. Kini, it’s do or die. Sesiapa yang mahu bersama, silakan. Jika ada yang ingin membuat onar dan menjadi duri dalam daging, hapuskan. Sokongan rakyat adalah sesuatu yang berubah-ubah. Untuk mendapatkan sokongan yang konsisten, di bandar dan di luar bandar, konflik dalaman perlu dielakkan supaya nampak kompetan dan rakyat yakin kepada Pakatan Harapan semula.

Lain pula dengan Perikatan Nasional. Sokongan yang diberikan oleh rakyat kini semakin pudar. Tapi ia tidak bermakna sokongan itu akan berpihak kepada Pakatan Harapan. Kemungkinan besar “third force” muncul dalam PRU 15 ini amat tinggi. “Third force” ini mungkin hadir dari calon-calon bebas yang membawa idealogi yang lebih dekat dengan rakyat.

Sejujurnya, Perikatan Nasional kini hanyalah kerajaan yang hidup atas sokongan ahli politik sendiri sahaja. Kalau kita ikutkan dari prestasi menteri dan kementerian – adakah kita mempunyai kementerian dan menteri sekarang? Ya, itulah perumpamaannya kini. Rakyat sudah semakin muak dengan drama ketidakcekapan menteri-menteri Perikatan Nasional. Tidak ada satu masalah rakyat yang mereka selesaikan sepanjang menjadi kerajaan. Mereka mendakwa bahawa mereka adalah kerajaan prihatin namun tindak balas terhadap isu-isu rakyat adalah sangat perlahan dan lembab. Nasib rakyat kini kebanyakannya dibela oleh NGO yang digerakan oleh anak muda dan juga individu-individu yang mempunyai pengaruh yang kuat seperti Ebit Lew.

Rakyat kini semakin terbuka mindanya, terima kasih kepada teknologi Internet di mana infomasi hanya di hujung jari. Perikatan Nasional tidak boleh leka diulit kemanisan kemenangan Pilihanraya Negeri Sabah. Kita juga tahu salah satu faktor kemenangan itu adalah kerana tidak ramai pengundi luar pulang mengundi pada waktu itu kerana ancaman Covid-19. Perikatan Nasional seharusnya menggunakan krisis pandemik ini untuk membuktikan mereka prihatin dan kerajaan yang sepatutnya disenangi oleh rakyat – walaupun lahirnya dengan cara yang salah.

Namun, mereka mensia-siakan peluang itu dan menggunakan pengisytiharan darurat sebagai perisai untuk terus-terusan meraih kuasa. Mereka mungkin lupa kuasa sebenar adalah kuasa rakyat. Ya, mungkin kini mereka berasa selesa. Mungkin mereka akan melengahkan pilihanraya. Namun suka atau tidak, pilihanraya akan menjelang juga nanti. Kebarangkalian mereka menjadi kerajaan yang paling tidak kompetan dalam sejarah negara kita agak tinggi.

Kini kita beralih ke kuasa ketiga atau “third force” yang disebutkan tadi. Tidak mustahil akan berlaku banjiran calon-calon bebas yang mungkin dari NGO yang ada di Malaysia ini terutamanya yang dipacu oleh anak muda akan berlaku. Kemungkinan juga akan ada konsensi yang baru yang akan mendominasi arena politik kita nanti. Anak muda kini nampak lebih agresif memperjuangkan hak-hak sosial rakyat tidak kira di mana sahaja. Anak muda seawal usia 16 tahun kini semakin petah bercerita mengenai apa yang perlu dilakukan untuk menjadikan Malaysia sebagai satu negara yang lebih makmur dan terpelihara demokrasinya.

Baru-baru ini sekumpulan anak muda daripada pelbagai pertubuhan telah mengemukakan #EnamTuntutan kepada kerajaan Perikatan Nasional yang meliputi beberapa perkara asas dan penting untuk kesejahteraan negara dan rakyat terutamanya sewaktu krisis pandemik sedang melanda negara kita. Tekanan terhadap perlaksanaan Rang Undang-undang Undi 18 terutamanya, tidak boleh dipandang rendah oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Anak-anak muda ini telah membuktikan kemampuan mereka menjalankan kerja-kerja yang sepatutnya dijalankan oleh kerajaan. Sebagai contoh insiatif #ConnectRakyat yang dijalankan oleh gabungan NGO yang dipacu oleh anak muda iaitu ARUS Anak Muda, Hunger Hurts dan Consurv Technic Sdn Bhd telah berjaya membekalkan komputer riba kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pembelajaran secara atas talian – lebih efektif dari janji kerajaan untuk memberikan bantuan sebanyak 150,000 buah komputer menggunakan dana kerajaan.

Inisiatif #ConnectRakyat ini telah melancarkan tabung dana mereka sendiri melalui KitaFund dan mendapat sokongan dari rakyat Malaysia yang prihatin, yang sedikit sebanyak membantu kelancaran kempen ini. Ini adalah salah satu daripada pelbagai inisiatif yang digerakan oleh anak muda. Jangan kita lupa UNDI18 yang digerakan oleh 2 orang tokoh anak muda yang baru-baru ini dinamakan sebagai Forbes Asia 30 Under 30 yang telah membuat perubahan terhadap rang undang-undang negara kita. Ini adalah sebilangan anak muda yang berbakat besar yang mampu menjadi pemimpin negara ini jika diberikan peluang dan memacu negara ke arah yang lebih baik.

Dengan lanskap politik dan sosial sebegini, tidak mustahil apabila tiba PRU 15 nanti, pengundi pasti akan mempunyai dilema sama ada untuk memberikan mandat kepada parti-parti politik dan konsensi yang sedia ada, atau memberikan peluang kepada anak-anak muda yang kita kini sudah nampak kebolehan mereka menjadi pemimpin melalui kempen-kempen kesedaran yang mereka juarai. Parti-parti politik juga tidak mustahil akan menjadi tidak relevan lagi pada masa hadapan.

Sudah tentu PRU 15 nanti akan menjadi menarik jika semua ini berlaku. Saya juga mengambarkan akan berlaku keadaan “hung parliament” seperti yang berlaku di Britain kerana tidak ada satu parti politik pun yang akan menjadi majoriti di dalam Parlimen nanti untuk membentuk kerajaan. Konflik antara parti-parti politik dengan pendirian yang tidak tetap juga akan menyulitkan para pengundi untuk membuat pilihan yang tepat.

Ya mungkin andaian saya ini tidak tepat. Namun ia tidak mustahil. Malaysia mungkin akan melangkah ke situasi landskap politik yang baru yang tidak seperti dahulu, yang mana jika sesebuah parti meletakkan keris sebagai calon sekali pun akan memenangi pilihanraya. Rakyat terutamanya anak muda kini semakin bijak untuk membuat pertimbangan. Kemungkinan barisan ahli parlimen muda akan mula kita lihat pada PRU 15 nanti. Apa pun yang bakal terjadi, harapanya sistem demokrasi Malaysia akan terus dipelihara dan dijaga – tidak lagi dirobek dan seperti yang berlaku kini.

Noor Suhana Ishak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast