KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Berhad (MAB) telah membuat dua laporan polis terhadap Wan Hilmi Wan Mohd Nor Hilmi dan Muhammad Fahmi Abdullah kerana membuat dakwaan syarikat penerbangan itu telah membawa penumpang dari India menerusi media sosialnya.
Tuduhan yang dibuat oleh kedua-dua individu tersebut tidak hanya merosakkan reputasinya tetapi juga sebagai ancaman terhadap kredibiliti negara dalam membendung penyebaran Covid-19, kata syarikat penerbangan tersebut.
Malaysia Airlines menegaskan, sejak Malaysia mengenakan larangan sementara kemasukan warganegara India pada 28 April 2021, syarikat penerbangan ini telah membatalkan semua penerbangan penumpang yang dijadualkan ke/dari India untuk mematuhi keputusan tersebut.
Tambahan pula semua penerbangan yang digunakan oleh syarikat penerbangan itu perlu mendapat persetujuan oleh pihak berkuasa di negara masing-masing dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan.
Meskipun begitu, sebagai syarikat penerbangan nasional dan global, Malaysia Airlines mempunyai kewajipan untuk memastikan rantaian bekalan global dikekalkan untuk bekalan sensitif, pada masa sama memberi perkhidmatan kepada negara dan mengekalkan hubungan rangkaian domestik dan antarabangsa untuk memudahkan pergerakan penting.
”Sepanjang tahun lalu, syarikat penerbangan ini telah melaksanakan lebih daripada 300 penerbangan menyelamat dan penghantaran pulang ke seluruh dunia.
”Penerbangan meningkat dalam tempoh 1 hingga3 Mei 2021 dari India adalah penerbangan kargo Malaysia Airlines ’Penumpang-ke-Kargo (P2C) yang membawa barang yang terdiri daripada barang-barang farmasi, bekalan perubatan, telefon bimbit, komponen elektrik, dan pakej kurier,” katanya.
Penerbangan tersebut tidak membawa penumpang selain kru penerbangan yang tetap berada di dalam pesawat semasa transit.
Tidak cukup dengan itu, sebagai berjaga-jaga, Malaysia Airlines juga tidak membenarkan mana-mana kakitangan penyelenggaraan di India memasuki pesawat, ujar syarikat itu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong turut menegaskan dakwaan berhubung penerbangan penumpang warganegara India oleh Malaysia Airlines adalah tidak tepat.
Malah, pesawat MH191 yang didakwa itu adalah penerbangan kargo.
Tambah Ka Siong, kenyataan yang dibuat adalah meragukan kerana sememangnya tidak ada mana-mana majikan swasta yang boleh mengambil sesiapa sahaja untuk dihantar ke pusat kuarantin, sebaliknya segala urusan tersebut di bawah kendalian NADMA.
”Selaras dengan arahan kerajaan, Malaysia Airlines tidak membawa penumpang dari India dan kenyataan tidak bertanggungjawab yang telah dikeluarkan oleh pemilik akaun FB bernama Muhammad Fahmi Abdullah telah menyebabkan keresahan, panik dan kemarahan dikalangan rakyat Malaysia secara umumnya.
”Apa yang jelas, tiada individu bernama Ajit Prasat dalam penerbangan MH191 sebagaimana yang didakwa. Hentikanlah penyebaran khabar angin atau berita palsu sedemikian.
”Justeru itu dua laporan polis telah dibuat bagi memastikan orang ramai tidak terkeliru dengan dakwaan tidak berasas yang cuba menimbulkan keresahan awam,” ujar beliau. – MalaysiaGazette