KUALA LUMPUR – Hari minggu semalam menunjukkan trend peningkatan dalam kes penahanan individu yang melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam operasi pematuhan sehingga jam 12 tengah malam tadi, seramai 519 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP.
Katanya, daripada jumlah itu, 508 individu dikenakan kompaun, manakala 11 lagi direman.
Antara kesalahan direkodkan ialah gagal merekodkan butiran diri atau daftar masuk premis sebanyak 207 kes, tiada penjarakan fizikal (72), aktiviti pusat hiburan (60), tidak memakai pelitup muka (50) dan kain-lain (130 kes).
Bagi Operasi Benteng kawalan sempadan negara pula, seramai dua penyeludup ditangkap dan merampas dua kenderaan darat.
“Sebanyak 175 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, kata beliau, seramai 1,100 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semua mereka telah dikuarantin di beberapa stesen kuarantin yang disediakan di seluruh negara.
Menurut beliau, secara kumulatifnya, sejak 24 Julai tahun lalu, seramai 193,762 individu telah pulang ke tanah air dan semua ditempatkan di 72 hotel serta sembilan Institut Latihan Awam (ILA) dan Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, seramai 8,299 individu telah dikuarantin dan 183,682 orang dibenarkan pulang, manakala 1,781 lagi dibawa ke hospital. – MalaysiaGazette