Bekas Ketua Pembantu Tadbir Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Noradlina Idris meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas selesai membayar jamin bagi kes pertuduhan tuntutan palsu berhubung pembayaran katering majlis Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2014, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 04 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas Ketua Pembantu Tadbir Kementerian Pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menganjurkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri tujuh tahun lepas.

Tertuduh, Noradlina Idris membuat pengakuan tidak bersalah atas semua pertuduhan di hadapan hakim Suzana Hussin dan memohon dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan, semua kesalahan itu dilakukan Noradlina ketika memegang jawatan di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia selaku ejen kerajaan.

Wanita tersebut mengemukakan tiga dokumen Pesanan Kerajaan yang dilampirkan bersama invois masing-masing bertarikh 13, 14 dan 18 Ogos 2014 berjumlah RM11,350.

Kesemua invois serta dokumen yang dikeluarkan olehnya bagi pembayaran pembekalan makan tengah hari dan petang ketika perjumpaan Menteri Pelancongan ketika itu bersama tetamu pada Ogos 2014 di Bangunan Sultan Abdul Samad

Invois serta dokumen itu didakwa digunakan tertuduh untuk membayar perkhidmatan katering majlis Hari Raya Aidilfitri di kediaman tertuduh di Bandar Seri Putra pada 16 Ogos 2014.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Putrajaya pada Ogos 2014.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan  denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding pagi ini, Pegawai Pendakwa SPRM, Abdul Muntaqim Abdul Aziz mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kesemua pertuduhan.

Pendakwaan juga mencadangkan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain melaporkan diri ke pejabat SPRM pada awal bulan selain tidak menganggu saksi.

Namun Noradlina yang tidak diwakili oleh peguam membuat rayuan agar jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan beliau mempunyai tanggungan anak seramai empat orang dan berdepan dengan masalah kewangan.

Hakim kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta memenuhi syarat-syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 4 Jun depan untuk sebutan semula kes. -MalaysiaGazette