BATU PAHAT – Mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan dalam kotak plastik di belakang sebuah premis perniagaan di Jalan Kuang, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mayat bayi malang itu ditemui orang awam kira-kira jam 6.40 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati bayi perempuan berkenaan dipercayai ditinggalkan lebih daripada tempoh 24 jam berdasarkan keadaan tubuhnya yang sudah mula mereput

“Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar premis perniagaan berhampiran lokasi kejadian dan menunjukkan seorang lelaki meletakkan kotak itu pada 27 April lalu,”katanya.

Mayat bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Orang ramai mempunyai maklumat diminta menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di talian 07-4363300.-MalaysiaGazette