Yap Ah Loy

KUALA LUMPUR – Beberapa pertubuhan Cina meminta supaya sejarah mengenai Yap Ah Loy yang berjasa dalam pembangunan Kuala Lumpur dipulihkan.

Sinchew Daily melaporkan, sembilan pertubuhan, termasuk persatuan sukuan yang kebanyakannya berpangkalan di Kuala Lumpur dan Selangor, meminta Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) supaya mengambil tindakan untuk memperjuangkan usaha itu.

Sembilan persatuan termasuk Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) itu meminta Hua Zong memimpin kempen untuk memulihkan sejarah Yap Ah Loy termasuk menyampaikan pandangan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Persatuan berkenaan berpendapat bahawa peranan Yap Ah Loy dalam pembukaan Kuala Lumpur tidak harus diabaikan dalam buku teks sejarah.

Naib Presiden KLSCAH, Datuk Lai Tak Kuan berkata, sejarah mengenai Yap Ah Loy telah dikelirukan.

Katanya, berbanding status sebagai tokoh pembukaan Kuala Lumpur sebelum ini, kini Yap Ah Loy hanya berada di tempat keempat dalam kandungan buku teks Sejarah mengenai pembukaan ibu kota Malaysia.

“Yap Ah Loy merupakan peneroka, strategis, pentadbir dan usahawan lombong yang berjaya.

“Beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan semula KL selepas berlaku banjir besar dan kebakaran pada 1881 dan perang dalaman Selangor antara 1866 hingga 1873,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Tanah Perkuburan Kwang Tung KL, Li Zheng Guang berkata, setiap suku kaum harus diberi hak dan dilibatkan dalam menulis sejarah Malaysia.

Katanya, jawatankuasa buku teks mungkin kehilangan perspektif yang bersifat majmuk jika ia hanya diwakili satu-satu kaum. – MalaysiaGazette