Video menunjukkan beberapa aktivis NGO memukul warga asing tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Polis menyiasat kes seorang lelaki warga asing dibelasah sekumpulan lelaki di kawasan kedai di Taman Alam Jaya, Batu 9, Cheras, di sini, semalam.

Berdasarkan video berdurasi satu minit 21 saat yang tular di media sosial itu, polis mengenal pasti beberapa suspek termasuk aktivis NGO, Yusuf Azmi dan seorang lelaki dikenali sebagai Abang Ali.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, kejadian itu boleh diklasifikasikan sebagai kekerasan jenayah yang disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Kejadian itu juga mengganggu gugat dan mendatangkan kekacauan kepada ketenteraman awam kerana berlaku di kawasan awam,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, tular satu video yang memaparkan Yusuf dan beberapa pengikutnya cuba menenangkan Abang Ali yang dilihat telah memukul seorang lelaki, dipercayai warga asing.

Kejadian tercetus apabila kumpulan aktivis itu mengesan kegiatan warga asing terbabit menjual baju cetak rompak atas nama NGO berkenaan dengan harga tidak munasabah.

Perbuatan itu menimbulkan kemarahan kumpulan berkenaan, lalu bertindak kasar memukul lelaki warga asing itu selepas mangsa dikatakan tidak mahu mengaku melakukan perbuatan mencetak rompak.

Kata Mohd Zaid, penelitian ke atas video itu juga mendapati kumpulan berkenaan turut melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti berkumpul dan tidak menjaga penjarakan sosial.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintenden Mohd Radzee Jamudi di talian 019-665 5811. – MalaysiaGazette