Solat sunat tarawih dan Aidilfitri di seluruh Wilayah Persekutuan yang kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan berdasarkan kapasiti masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter berkuat kuasa hari ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, meneliti pembentangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai SOP Hari Raya Aidilfitri 13 Mei ini.

Selepas mendengar cadangan itu, kerajaan bersetuju untuk membenarkan takbir raya di masjid dan surau di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, walaupun MKN di peringkat pusat membenarkan, tetapi pihak yang boleh memberi ketetapan itu ialah pihak berkuasa agama negeri.

Ismail Sabri Yaakob

“Apa-apa SOP yang dikeluarkan mengenai aktiviti keagamaan sepanjang PKP ialah pihak berkuasa agama kerajaan negeri, tetapi kawasan PKP Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan.

“Amalan takbir dari rumah ke rumah juga tidak dibenarkan di semua kawasan PKP, PKPB dan PKPP,” katanya pada sidang media mengenai Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengenai solat sunat Hari Raya Aidilfitri di kawasan PKP, PKPB dan PKPP, kerajaan membenarkan di masjid dan surau, tetapi bagi menentukan jumlah kehadiran adalah keputusan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Bagaimanapun, ujarnya, solat sunat Hari Raya Aidilfitri di kawasan PKPD tidak dibenarkan.

Beliau juga tidak membenarkan jamuan selepas raya diadakan di masjid dan surau di kawasan PKP dan PKPD.

“Namun, di kawasan PKPB dan PKPP jika ada jamuan, seeloknya disediakan dalam bentuk bungkusan bagi mengelakkan jemaah berhimpun dan berkumpul.

“Bagi ziarah hari raya pula, untuk kawasan yang dikenakan PKP hanya dibenarkan pada 1 Syawal sahaja dengan kehadiran tetamu tidak lebih 15 orang pada satu-satu masa mengikut saiz rumah dan dengan penjarakan fizikal.

“Kawasan PKPB dan PKPP pula ziarah dibenarkan pada 1 hingga 3 Syawal, namun, kawasan PKPB kehadiran terhad 20 orang, manakala kawasan PKPP kehadiran tetamu tidak lebih 25 orang pada satu-satu masa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast