KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 20 kluster baharu Covid-19 dengan lapan daripadanya membabitkan tempat kerja.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam lagi berkaitan komuniti, empat dari sektor pendidikan dan dua kluster keagamaan.
Menurutnya, kluster baharu itu dikesan di Sarawak, Kelantan, Kuala Lumpur, Johor, Perak, Melaka, Pahang dan Selangor.
“Sebanyak 1,726 kluster dikesan di seluruh negara setakat ini, dengan 411 kluster aktif dan 99 daripadanya melaporkan pertambahan kes.
“Sebanyak 14 kluster yang tamat hari ini ialah Persiaran Indahpura Utama, Jalan Permas Cetak, Taman Emas, Jalan Rasmi, Taman Vistagro, Jalan Putra Square, Jalan Kastam Baru, Jalan Kampung Hilir, Jalan Muhibbah, Jalan Anak Gasing, Jalan Faizal, Kebun Baru, Highline dan Tapak Bina Jalan You City, menjadikan 1,315 kluster berakhir setakat ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan terkini Covid-19, hari ini.
Noor Hisham berkata, kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi hari ini adalah Tok Has (53 kes), Jalan Padang Tembak (43 kes) dan Jalan Wau (34 kes). – MalaysiaGazette