Petugas kesihatan membuat persiapan sebelum melakukan suntikan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 4,392 orang menjadi penerima awal vaksin Covid-19 AstraZeneca selepas empat Pusat Pemberian Vaksin Astrazeneca (PPVAZ) dibuka serentak hari ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, seramai 2,468 orang penerima mendapat suntikan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur; 996 di Universiti Malaya (UM), 928 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

“Setakat jam 12 tengahari tadi, 682 telah disuntik di WTKLC, 449 di UM dan 493 di UKM,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Orang awam diberi suntikan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2021.

PPV di WTC akan beroperasi sehingga jam 9 malam dan PPV yang lain setakat jam 5 petang.

Khairy berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan proses vaksinasi yang dijalankan hari ini yang dilaksanakan oleh pengamal perubatan swasta berbanding sebelum ini diselia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dalam pada itu, Khairy menjangkakan lebih banyak PPVAZ dibuka pada fasa ketiga PICK termasuk di kawasan zon merah apabila menerima bekalan vaksin dengan jumlah yang lebih besar lagi menjelang bulan Julai depan.

“Saya merancang untuk membuka PPVAZ di negeri lain dan memberi tumpuan kepada negeri zon merah.

“Perbincangan serta perancangan mengenainya sedang berjalan untuk memilih negeri yang sesuai untuk diberikan PPVAZ secara program sukarela,” ujar beliau.

Orang awam beratur untuk menunggu giliran terimal suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2021.

Menurut beliau, PPV mega pertama sekarang dapat menampung lebih 2,000 janji temu setiap hari.

Ditanya mengenai pemberian vaksin lepas warga asing yang menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat negara ini, Khairy berkata: “Covid-19 tidak tahu membezakan warganegara dan bukan warganegara”,

Sebaliknya, Covid-19 akan menjangkiti sesiapa sahaja dan diskriminasi mengenai pemberian vaksin itu itu adalah perkara yang bertentangan dengan kesihatan awam.

“Kita kena bagi kepada semua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette