Sahruddin Jamal bertanya sesuatu kepada tetamu pada majis berbuka puasa anjuran Bersatu Johor dengan Media Johor.
JOHOR BAHRU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Pas dan Gerakan akan memulakan rundingan pengagihan kerusi dalam masa terdekat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, mesyuarat rundingan itu akan dimulakan sebaik mendapat lampu hijau Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden parti.
“Bersatu Johor, Pas dan Gerakan akan bermesyuarat tidak lama lagi bagi pembahagian kerusi sebaik sahaja pucuk pimpinan memberi kebenaran.
“Setakat ini kami masih belum mempunyai formula agihan berapa yang akan setiap parti dapat.
“Namun kami akan pastikan perbincangan dilakukan dengan strategi terbaik dan semua parti akan berpuas hati,” katanya pada sidang media selepas  majis berbuka puasa anjuran Bersatu Johor dengan Media Johor di sini.
Gerakan adalah parti politik terbaharu yang diterima menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau, dilaporkan berkata, perkara pihaknya menerima surat pengesahan yang ditandatangani Muhyiddin yang juga Pengerusi PN.
Ditanya sama ada UMNO Johor akan menyertai rundingan itu berikutan Bersatu Johor menyokong parti berkenaan menubuhkan kerajaan negeri selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH)  Februari tahun lalu, Dr Sahruddin berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu kerjasama dengan parti berkenaan.
Bagaimanapun, katanya tiada rundingan dilakukan bersama UMNO Johor pada masa ini.
“Apatah lagi maklum balas UMNO  kebelakangan ini lebih banyak menghentam Bersatu dan pemimpin kami, selain secara terbuka menyatakan mahu memutuskan hubungan.
“Jika lihat kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad pun memberi gambaran tiada kerjasama dengan PN.
“Maka PN Johor bersiap sedia menghadapi PRU-15 sama ada akan ada perlawanan dua penjuru atau tiga penjuru, kami akan bersiap sedia untuk menghadapinya,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Dua parti kaki pengkhianat…Bersatu & Gerakan..mmg sesuai lah duduk satu team

Comments are closed.