KUALA LUMPUR – Individu yang mendakwa bahawa Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Hizwan Ahmad terlibat dengan meraih dana politik mencecah puluhan ribu ringgit daripada pihak ketiga tampil membuat permohonan maaf.

Lelaki yang memperkenalkan namanya Fadzil berkata, permohonan maaf secara terbuka itu dibuat setelah Hizwan membuat satu laporan polis semalam.

“Saya Fadzil dengan ini saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada Hizwan selaku Setiausaha Politik kepada Datuk Zuraida Kamaruddin.

“Saya ingin memohon maaf dan saya ingin memaklumkan bahawa Hizwan tidak pernah meminta atau mengarahkan sesiapa atau menerima mana-mana wang daripada saya ataupun mana pihak,” katanya dalam satu video kepada MalaysiaGazette.

Fadzil turut berkata, terdapat salah faham dalam perkara tersebut, lantaran itu dia memohon maaf kepada Hizwan.

“Saya memohon maaf kerana terdapat salah faham. Saya mohon maaf kepada Hizwan dan pihak kementerian dan mana-mana pihak yang tersinggung dengan perbuatan saya.

“Saya berharap permohonan maaf ini dapat diterima,” katanya lagi.

Semalam, Hizwan menafikan sekeras-kerasnya dirinya terlibat dengan usaha untuk meraih dana politik daripada pihak ketiga bagi menjalankan program politik di Shah Alam.

Rentetan daripada dakwaan itu,  Hizwan telah membuat laporan polis di Balai Polis Ampang Jaya.

Dalam pada itu, Fadzil berkata, permohonan maaf ini dibuat setelah Hizwan mendesak satu permohonan maaf dibuat dalam masa 24 jam.

Hizwan berkata,beliau menerima satu pesanan WhatApps daripada rakan pejabatnya di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mendakwa seorang individu dipercayai telah menggunakan nama beliau untuk meminta sejumlah wang bernilai RM40,000 daripada pihak lain. – MalaysiaGazette

Setpol Zuraida nafi terlibat raih dana politik