Ahmad Yakob
Ahmad Yakob

KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan kerajaan negeri untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat perlu dinilai dan mendapat pandangan pelbagai aspek.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, penelitian khusus perlu dibuat terlebih dahulu supaya keputusan untuk melaksanakannya tidak menimbulkan sebarang perkara yang tidak diinginkan.

Beliau berkata, walaupun kes positif Covid-19 di Kelantan ketika ini agak tinggi, tetapi pihak tertentu memikirkan banyak sudut termasuk ekonomi dan sosial.

“Kalau kita kata nak total lockdown, banyak pihak seperti Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pasukan keselamatan akan memberi pandangan.

“Jadi, kita tunggu keputusan bersesuaian yang diberikan kepada Kelantan. Apa sahaja keputusannya, kita akan terima,” katanya dalam satu majlis di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Menurut Ahmad, laporan mengatakan kerajaan Kelantan membuat permohonan supaya menguatkuasakan ‘lockdown’ atau PKP penuh, kurang tepat.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan negeri hanya menghantar laporan justifikasi mengenai keadaan semasa Covid-19 di negeri itu.

“Jawatankuasa Kerja Keselamatan (Khas) Negeri Kelantan hanya mengangkat justifikasi kepada MKN berdasar laporan Jabatan Kesihatan Negeri mengenai situasi cemas yang berlaku.

“Laporan justifikasi itu untuk Kerajaan Persekutuan dan MKN menimbang dan menilai serta memutuskan sebarang keputusan yang bersesuaian mengikut keadaan yang berlaku di Kelantan.

“Setakat ini, belum ada apa-apa maklum balas dan sebarang keputusan akan dikeluarkan kerajaan pusat selepas berbincang di peringkat jawatan pusat untuk menilai dan memberi arahan kepada negeri-negeri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast