Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan situasi Covid-19 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan pengesahan sebanyak 17 kluster baharu direkodkan dari 1 hingga 27 April lalu dan menyaksikan jumlah kes harian semakin meningkat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setelah meneliti pembentangan serta cadangan daripada KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh WP Kuala Lumpur bermula 7 Mei sehingga 20 Mei ini.

Katanya, SOP bagi PKP Kuala lumpur sama seperti yang telah diumumkan sebelum ini, dengan pergerakan merentas negeri tidak dibenarkan, kecuali atas urusan kerja dan kecemasan.

Menurut beliau, premis makanan seperti restoran, food truck, penjaja dan kiosk dibenarkan beroperasi dari 6 pagi sehingga 12 malam sahaja, namun dine-in di kedai makan juga tidak dibenarkan.

“Bazar Ramadan di kawasan PKP masih dibenarkan beroperasi mengikut SOP ketat. Bagaimanapun, keputusan untuk meneruskan ataupun menutup operasi bazar adalah tertakluk di bawah kuasa Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, PKP di 14 Mukim dalam daerah Besut, kecuali Mukim Hulu Besut, Terengganu turut dikuatkuasakan 7 Mei ini susulan peningkatan kes secara mendadak di mukim berkenaan.

Mukim tersebut Kampung Raja, Lubuk Kawah, Pelagat, Tenang, Keluang, Bukit Kenak, Kubang Bemban, Jabi, Kerandang, Pengkalan Nangka, Pasir Akar, Tembila, Bukit Puteri dan Kuala Besut.

Kata Ismail, sejak 1 April sehingga 3 Mei lalu, KKM telah merekodkan 406 kes positif hasil daripada 5,617 ujian saringan yang dilakukan ke atas penduduk di lokaliti tersebut. – MalaysiaGazette