Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua sekolah di Selangor diarah tutup bermula esok hingga cuti hari raya Aidilfitri.

Arahan itu dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada semua Pegawai Pendidikan Daerah Selangor.

Menurut surat yang bertarikh hari ini, arahan penutupan itu dibuat selepas mendapat syor dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Selangor (JKKNS) yang berlangsung hari ini.

Langkah itu adalah satu usaha untuk mengurangkan pergerakan dalam komuniti berikutan peningkatan kes Covid-19 di Selangor.

“Mengambil kira bahawa sesi persekolahan secara bersemuka hanya berbaki dua hari, maka KPM memutuskan agar semua sekolah bawah KPM di negeri Selangor ditutup pada 6 Mei dan 7 Mei 2021.

“Penutupan sekolah ini akan berterusan sehingga cuti hari raya Aidilfitri sepertimana diumumkan oleh KPM pada 26 April 2021,” menurut surat tersebut.

Bagaimanapun tambah kenyataan itu lagi, pergerakan pulang murid asrama sempena cuti hari raya Aidilfitri tahun ini adalah seperti yang telah dijadualkan oleh pihak sekolah.

Bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan murid dan ibu bapa, pihak sekolah perlu mengekalkan jadual pergerakan pulang yang telah ditetapkan,ujarnya.

Katanya lagi, guru-guru perlu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang tempoh penutupan itu.

“Sehubungan itui, semua pegawai pendidikan daerah hendaklah memastikan semua sekolah mematuhi arahan ini,” katanya. – MalaysiaGazette