Fahmi Reza selepas selesai memberi keterangan kepada polis berkaitan siasatan logo UKM dan juga karikatur wajah menteri Kesihatan di IPD Kajang pagi tadi.- Ihsan : Facebook Fahmi Reza.

KUALA LUMPUR – Kartunis politik, Fahmi Reza sekali lagi tampil memberi keterangan kepada polis di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dekat sini hari ini

Dalam status terbaharu di Facebooknya,  Fahmi atau nama sebenarnya Fahmi Reza Mohd Zarin dipanggil untuk memberi berkaitan karikatur wajah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan grafik logo menyerupai logo sebuah universiti tempatan.

Menurut Fahmi, polis setakat ini telah membuka dua kertas siasatan terhadapnya di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Aku disoal siasat untuk dua kertas siasatan baru yang dibuka terhadap aku. Yang pertama dengan Inspektor dari IPD Kajang pasal grafik logo #UniversitiKatakKebangsaan yang aku post di FB.

“Yang kedua dengan Inspektor dari IPD Sepang pasal lukisan muka Menteri Air Suam macam dracula yang aku post di Twitter,” katanya dalam status terkini di akaun Facebook peribadinya pagi ini.

Tambah Fahmi, sebanyak lima kertas siasatan dibuka oleh polis dalam tempoh lima bulan ini terhadapnya kerana posting dan grafik satira yang dihasilkannya.

Pada 23 April lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah menahan aktivis berkenaan susulan satu hantaran berbaur penghinaan terhadap Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Maimunah Iskandariah.

“Penahanan ke atas suspek dibuat susulan satu laporan polis yang diterima berkaitan satu hantaran yang dibuat suspek menggunakan akaun Facebook Fahmi Reza yang didapati menghina Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

“Hantaran itu mengandungi sekeping gambar Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berserta kapsyen berbunyi ‘This is dengki ke?” katanya dalam kenyataan itu.

Kemudian Fahmi Reza ditahan selama sehari untuk dirakam keterangan sebelum dibebaskan pukul 5.30 petang dari Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast