KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman difailkan oleh satu persatuan dan enam wanita yang berkahwin dengan warga asing.
Permohonan kumpulan itu adalah untuk membolehkan anak mereka yang dilahirkan di luar negara mendapat hak menjadi warganegara Malaysia.
Mahkamah Tinggi sebaliknya mengekalkan saman yang telah difailkan oleh kumpulan hak asasi Family Frontiers dan enam wanita terbabit.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir ketika membuat keputusan itu berkata saman pemula itu bukan sesuatu remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah sebaliknya melibatkan soal kerakyatan.
“Isu ini tidak boleh dipandang remeh kerana ini adalah soal kewarganegaraan. Ini sangat penting,” katanya hari ini.
Akhtar Tahir kemudian menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh pendengaran semula saman pemula yang telah difailkan oleh kumpulan hak asasi serta enam wanita itu.
Sebelum ini pada 18 Disember tahun lepas, saman itu difailkan presiden dan pemegang jawatan Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & KL (Family Frontiers) Suriani Kempe dan enam wanita Malaysia.
Mereka menuntut enam perintah mahkamah khusus termasuk perisytiharan bahawa Seksyen 1 (b) dan Seksyen 1 (c) dibaca secara bersama dengan Perkara 8 (2) untuk memasukkan ibu-ibu Malaysia sebagai syarat bagi anak-anak yang lahir di luar negeri untuk diberi kewarganegaraan Malaysia secara automatik.
Antara lain, mereka juga memohon perintah mahkamah supaya semua agensi kerajaan yang berkaitan mengeluarkan segala dokumen berkaitan kewarganegaraan untuk anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu-ibu Malaysia dengan pasangan warga asing.
Antara agensi yang disebut itu termasuklah Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan Kedutaan Malaysia. -MalaysiaGazette