Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak

AMPANG – Seramai 10 individu telah dipanggil dan diambil keterangan dalam siasatan kes perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di majlis tahnik anak penyanyi tersohor tanahair, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin setakat ini.

Pemilik rumah berkenaan serta penganjur majlis tahnik itu antara individu yang dipanggil polis Ibu Pejabat Polis daerah Ampang Jaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dalam satu kenyataan mengesahkan perkara itu bagi perkembangan terbaharu siasatan kes tersebut.

Majlis itu dikecam oleh masyarakat umum selepas acara itu tular di media sosial.

“Setakat ini telah memanggil dan mengambil keterangan daripada 10 individu yang terlibat dalam majlis itu dan pemilik rumah berkenaan serta penganjur majlis itu antara yang diambil percakapan oleh polis,” katanya.

Justeru kata beliau, polis akan memanggil beberapa lagi individu yang telah dikenalpasti menghadiri majlis tahnik anak penyanyi tersebut termasuk ‘VVIP’ dan  penceramah agama

“Polis akan memanggil dan merakam percakapan daripada mereka yang dikenalpasti itu dalam masa terdekat untuk membantu polis melengkapkan kertas siasatannya,” ujar beliau.-MalaysiaGazette