Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan terus dibantu kerajaan untuk memastikan kelangsungan perniagaan dalam menguruskan aliran tunai.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

Pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif memandangkan keadaan pandemik yang tidak menentu.

Oleh itu, pendirian dasar monetari pada masa hadapan akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu, serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

BNM berkata, ia terus komited untuk menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan.

Pemulihan ekonomi global terus kukuh terutamanya di ekonomi utama, disokong oleh peningkatan dalam aktiviti perkilangan dan perdagangan, meskipun pada kadar yang mungkin berbeza-beza antara negara.

Program pemberian vaksin yang sedang dilaksanakan dan langkah-langkah rangsangan fiskal yang besar di Amerika Syarikat serta sokongan dasar di ekonomi utama lain akan terus membantu menambah baik keadaan permintaan dalam negeri.

Walau bagaimanapun, katanya, trajektori pemulihan di beberapa negara mungkin terganggu oleh langkah-langkah pembendungan yang diperketatkan kembali bagi mengekang penularan semula Covid-19.

Menurut BNM, volatiliti dalam pasaran kewangan baru-baru ini telah reda sedikit dan keadaan kewangan terus menyokong pertumbuhan.

Imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi lebih perlahan, disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pandemik dan potensi risiko volatiliti pasaran kewangan yang ketara.

Bagi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan kegiatan ekonomi terus bertambah baik pada suku pertama dan sehingga bulan April.

”Walaupun pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di lokasi terpilih baru-baru ini akan menjejaskan kegiatan ekonomi dalam jangka pendek, kesannya akan kurang teruk memandangkan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

”Trajektori pertumbuhan diunjurkan untuk meningkat, didorong oleh pemulihan yang lebih kukuh dalam permintaan global serta peningkatan perbelanjaan sektor awam dan swasta berikutan sokongan langkah-langkah dasar yang berterusan,” tambahnya dalam satu kenyataan di sini.

Pertumbuhan juga akan disokong oleh pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti perkilangan yang sedia ada dan baharu, terutamanya dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E) dan subsektor berkaitan sumber, serta loji pengeluaran minyak dan gas.

BNM berkata, kemajuan program pemberian vaksin Covid-19 dalam negeri juga akan meningkatkan sentimen dan menyumbang ke arah pemulihan kegiatan ekonomi.

Walau bagaimanapun, prospek pertumbuhan ekonomi terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi rendah. Hal ini berpunca terutamanya daripada ketidakpastian yang berterusan mengenai perkembangan yang berkaitan dengan pandemik serta cabaran yang mungkin dihadapi yang boleh menjejaskan pemberian vaksin pada peringkat global dan dalam negeri.

Purata inflasi keseluruhan pada tahun 2021 diunjurkan lebih tinggi antara 2.5% hingga 4.0%, disebabkan terutamanya oleh faktor tolakan kos berikutan harga minyak dunia yang meningkat.

Dari segi trakjektori, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua tahun 2021 disebabkan terutamanya oleh asas yang lebih rendah daripada harga bahan api runcit dalam negeri yang rendah pada suku yang sama tahun 2020.

Bagaimanapun, keadaan ini adalah bersifat sementara kerana inflasi keseluruhan diunjurkan menjadi sederhana selepas itu apabila kesan asas ini luput.

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal rendah, berpurata antara 0.5% hingga 1.5% untuk tahun ini, dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi namun prospek ini bergantung pada perkembangan harga minyak dunia dan komoditi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast