KUALA LUMPUR – Semua parti politik, baik kerajaan mahupun pembangkang dinasihatkan berhenti dari berpolitik.
Sebaliknya, mereka sama-sama memberi tumpuan dan keutamaan untuk menstabilkan negara serta rakyat ketika dunia berperang dengan wabak Covid-19.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, ini masanya semua pihak mengurangkan masalah politik dan tidak leka dengan pandemik yang melanda dunia ketika ini.
“Saya mohon dan menyeru agar kita kurangkan politik, baik daripada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Ini masanya kita letakkan keutamaan negara dan rakyat jauh di hadapan. Jangan sesekali kita terleka dan lalai sehingga negara kita musnah,” katanya yang dipetik menerusi Facebooknya, hari ini.
Armand Azha yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang berkata, jangkitan Covid-19 boleh mencecah sehingga 10,000 kes selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dilaksanakan dengan segera.
Kata beliau, semua hospital semakin penuh, Unit Rawatan Rapi (ICU) juga sudah hampir habis digunakan.
“Bahkan, di Kelantan terpaksa buka hospital sementara kerana tidak cukup katil. Hospital swasta yang ada kerjasama dengan kerajaan juga sudah hampir habis katilnya.
“Ini sepatutnya yang ahli politik fikirkan. Sama-sama mencari kaedah untuk mengatasinya supaya negara kembali aman seperti sedia kala,” katanya.
Beliau turut menasihat umat Islam agar sedia membuat pengorbanan dengan tidak pulang ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Memang kita semua rindukan kampung halaman dan ibu bapa kita, tetapi jika kita gagal menangani dan melawan Covid-19, keselamatan mereka juga akan terancam.
“Seluruh dunia kini sedang berjuang dan bergelut melawan pandemik ini. Kita mesti menang, kita jaga kita,” katanya. – MalaysiaGazette