NEW DELHI – Polis India merampas lebih tujuh kilogram uranium asli dan menahan dua lelaki di negeri Maharashtra kerana ‘memiliki secara haram’ bahan radioaktif itu, kata pihak berkuasa.

Menurut pasukan anti keganasan di Maharashtra, bahan rampasan itu bernilai Rupees21.30 crores (kira-kira AS$2.9 juta) dan siasatan sedang dijalankan.

“Kami telah menerima maklumat bahawa seorang individu dikenalipasti sebagai Jigar Pandya akan menjual kepingan-kepingan bahan uranium secara haram, satu perangkap dirancang dan dia ditahan.

“Siasatan kes mendapati seorang lagi individu dikenali sebagai Abu Tahir memberi kepadanya kepingan-kepingan uranium,” kata polis Maharashtra.

Polis berkata, sejumlah besar kuantiti bahan itu ditemui apabila Tahir ditahan.

Kes tersebut didaftarkan pada Rabu lalu selepas satu laporan daripada Pusat Penyelidikan Atom Bhabha di Mumbai mengesahkan rampasan bahan radiaoktif.

“Satu laporan diterima bahawa bahan itu ialah uranium asli. Ia adalah radioaktif tinggi dan berbahaya kepada nyawa manusia,” katanya.

Seorang pegawai polis yang tidak mahu dikenali memberitahu agensi berita, Anadolu, bahawa suspek telah disoal siasat bagi mengenalpasti punca bahan itu dan ke mana ia akan dihantar.

Menurut laporan agensi berita, Press Trust of India, dua suspek itu telah dihadapkan ke mahkamah pada Rabu lalu dan mereka diletakkan di bawah tahanan pasukan anti keganasan sehingga 12 Mei ini.

Pada 2016, polis merampas kira-kira sembilan kilogram uranium di Tahne, Maharashtra. – MalaysiaGazette