Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kumpulan Boustead Naval Shipyard akan meneruskan semula pembinaan Projek Littoral Combat Ship (Projek LCS) yang telah terhenti pembinaannya sejak tahun 2019.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang telah bersidang pada 5 Mei lalu.

“Mesyuarat jemaah Menteri itu bagaimanapun telah menetapkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh Kumpulan Boustead. Dengan penerusan pembinaan tersebut oleh Kumpulan Boustead, ianya akan menyelamatkan 8,000 orang pekerja yang terdiri daripada anak-anak tempatan dan juga lebih daripada 400 syarikat vendor yang terdiri daripada PKS Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Menteri Kanan Keselamatan itu, sekiranya pembinaan LCS itu tidak diteruskan, ia akan memberi beberapa impak negatif kepada para pekerja dan vendor bumiputera terlibat.

Justeru katanya, ia juga akan memberi kesan kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang merupakan pemegang saham di dalam Boustead Holdings Berhad.

“Selain itu, secara tidak langsung pencarum yang merupakan anggota tentera akan menerima kesan sekiranya projek ini tidak diteruskan malah pihak bank yang memberi pinjaman kepada projek ini juga bakal kerugian kerana Boustead Naval Shipyard tidak berkeupayaan membayar pinjaman.

“Untuk rekod, Kumpulan Boustead Naval Shipyard adalah merupakan sebuah syarikat milik kerajaan yang diusahakan oleh majoritinya anak-anak Melayu Bumiputera,” tegasnya.-MalaysiaGazette