Semua aktiviti sukan dan rekreasi dalam premis atau kemudahan komersial, awam dan kawasan terbuka di bawah PKP digantung mulai hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memohon kerajaan untuk mempertimbangkan semula SOP sukan dan rekreasi yang dilarang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula semalam.

Permohonan itu akan dikemukakan Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam mesyuarat khas harian Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Menteri Kanan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“KBS sentiasa komited dan konsisten untuk membawa perspektif bahawa sukan bukan sahaja berkait soal aktiviti, malah turut melibatkan ekosistem yang lebih luas lagi.

“YB Menteri akan mengangkat semula beberapa cadangan berhubung pendekatan yang lebih wajar terhadap sektor sukan dan rekreasi dalam PKP dalam mesyuarat petang ini,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan KBS, hari ini.

Semalam, MKN dalam kenyataan menyatakan, semua aktiviti sukan dan rekreasi di dalam premis atau kemudahan komersial, awam dan kawasan terbuka di bawah PKP digantung mulai hari ini.

Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko KKM dan mengambil kira cabaran serta perkembangan semasa demi kepentingan kesihatan awam dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Bagaimanapun, menurut kenyataan KBS lagi, operasi di kemudahan atau premis sukan dan rekreasi yang terhad kepada urusan pengurusan dan penyelenggaraan, serta program latihan berpusat secara kuarantin Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri menggunakan konsep “Camp Based Training” dibenarkan.

Katanya, program latihan berpusat secara kuarantin pasukan Liga Malaysia (Liga-M) turut dibenarkan, tetapi penganjuran kejohanan dan perlawanan persahabatan mengikut model gelembung sukan hanya untuk saingan Liga-M tanpa kehadiran penonton.

“KBS sentiasa bersama peminat dan penggiat sukan dalam memaknakan ‘Kita Jaga Kita’ khususnya dalam soal kelangsungan hidup dan keselamatan diri daripada penularan jangkitan Covid-19.

“Dalam masa sama, soal kecergasan sama sekali tidak diketepikan,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette