Shahrin Ahmad

SHAH ALAM – Pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memantau Bazar Aidilftri pada minggu terakhir Ramadan bagi memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, penguatkuasa bersama polis akan melakukan rondaan sepanjang masa di enam bazar yang beroperasi luar bangunan melibatkan masing-masing dua lokadi di Seksyen 7 dan U20 serta masing-masing satu lokasi di Seksyen 23, U5.

Kata beliau, walaupun pemantauan pematuhan SOP setakat ini mendapati keadaan masih terkawal, namun kawalan diteruskan bagi memastikan tiada pelanggaran berlaku.

“Pelanggaran dimaksudkan antaranya masa operasi, jumlah pengunjung dihadkan mengikut keluasan dan larangan membawa masuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

“Pihak PBT juga tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun dan menutup operasi bazar sekiranya penganjur gagal mematuhi syarat digariskan,” katanya yang dipetik sebagai berkata kepada Selangorkini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan Penjaja dan Jabatan Pelesenan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Syairah Zahidi Baki berkata, pendekatan sama dilakukan ke atas satu-satunya Bazar Aidilfitri di daerah tersebut iaitu di Selayang Mall yang menempatkan 30 peniaga.

Menurut beliau, meskipun tiada jumlah anggota tetap ditugaskan di lokasi itu, tetapi kawalan pematuhan SOP dilakukan dari semasa ke semasa.

“Antara syarat am permit perayaan dikeluarkan kepada penganjur adalah perlu memastikan SOP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi.

“Bagaimanapun, tiada apa-apa pelanggaran dikesan sejak ia beroperasi pada awal Ramadan dengan penganjur mewujudkan penjarakan khemah dan patuh syarat lain ditetapkan,” katanya.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengarahkan operasi Bazar Ramadan di enam daerah yang dikenakan PKP dihentikan bermula esok (semalam).

Katanya, Bazar Aidilfitri dan pasar malam pula dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam dengan mematuhi syarat ketat.

Enam daerah di Selangor dikenakan PKP bermula semalam ialah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang, manakala Kuala Selangor, Sabak Bernam serta Hulu Selangor kekal PKP Bersyarat. – MalaysiaGazette