Sebahagian barangan termasuk beg berjenama yang dirampas dari keluarga Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2018 lalu.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari diberitahu bukan sesuatu yang luar biasa untuk isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menerima hadiah beg tangan berjenama.

Malah sejumlah 263 beg tangan yang dirampas didakwa ada kaitan dengan penyewelengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) sebenarnya adalah hadiah yang telah diberikan kepada Rosmah dan juga anak perempuannya, Nooryana Najwa Najib.

Menurut peguam mewakili Rosmah dan Nooryana, Iskandar Shah Ibrahim, beg berjenama itu adalah hadiah yang telah diberikan atas kapasiti anak guamnya sebagai isteri dan anak kepada Datuk Seri Najib Razak.

“Pendakwaan sebenarnya gagal membuktikan beg-beg berjenama itu telah dibeli menggunakan dana 1MDB sebaliknya pegawai yang menyiasat kes ini sendiri mengakui sebahagian barangan rampasan itu adalah hadiah.

“Jika dilihat beg-beg jenama Hermes yang belum dapat dikesan dari mana ianya telah dibeli (dana 1MDB). Ini bukanlah barangan yang boleh dibeli di kedai mahu pun pusat beli belah dengan begitu sahaja.

“Dalam afidavit Rosmah sebelum ini beliau ada mendedahkan dirinya telah menerima hadiah daripada individu yang dikenali dan tidak dikenali termasuk daripada besan dan menantunya.

“Pegawai penyiasat Bukit Aman, Foo Mei Win juga pernah berkata bahawa siasatan polis mereka telah mendapati majoriti beg tangan yang dirampas pada 17 Mei 2018 merupakan hadiah,” katanya di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Iskandar berkata demikian dalam hujahnya pada prosiding pendengaran saman yang difailkan kerajaan untuk melucut hak wang tunai dan aset termasuk beg-beg berjenama yang dikaitkan dengan 1MDB.

Selain Rosmah dan Nooryana, saman turut difailkan oleh Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan bersama 15 responden lain.

Rosmah dan Nooryana telah memohon untuk  mahkamah mengetepikan saman yang dibuat kerajaan itu.

Isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anaknya, Noryana Najwa Najib. Foto HAZROL ZAINAL, 20 DISEMBER 2019.

Pihak pendakwaan sebelum ini memfailkan notis usul bagi memohon untuk melucut hak terhadap harta-harta tersebut dan menamakan Najib, Rosmah, dan anak mereka iaitu Nor Ashman Razak Mohd Najib dan Nooryana ; Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib); Mohd Kyizzad Mesran; Senijauhar Sdn Bhd; Aiman Ruslan; Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta; Yayasan Mustika Kasih; Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe (ibu kepada Low Taek Jho); Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isterinya Lim Hwee Bin; Kee Kok Thiam; Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden pertama hingga ke-18.

Antara barangan yang disita itu ialah 52 beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, US$100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baharu) yang disita pada 17 Mei 2018 oleh pihak polis.

Barangan lain yang disita pada tarikh sama ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat buah beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 buah beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 buah beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.

Sebanyak 27 buah kereta jenama Nissan turut disita pada 2 Ogos 2018 selain sebidang tanah di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, hujah Iskandar lagi, ada logiknya seandainya Nooryana mampu membeli sebahagian beg tersebut memandangkan beliau sudah mempunyai punca pendapatan ketika bekerja di United Kingdom dan Hong Kong sebelum ini.

Malah kata Iskandar lagi, ada juga antara beg yang dirampas juga adalah hadiah perkahwinan daripada mentuanya dari Kazakhstan.

“Keterangan Nooryana adalah asas untuk menunjukkan responden kelima (Nooryana) mampu membeli beg-beg tangan tersebut.

“Beg tangan Hermes adalah bahagian utama dalam hadiah pertunangan dan perkahwinan, bukan saja daripada ibu mentuanya,” ujarnya.

Mohamed Zaini kemudian menetapkan 18 Jun ini untuk pihak pendakwaan menjawab hujah balas. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Aku baca ni pun aku rasa AG dan SPRM ni bebal..kalau betul Najib songlap duit, tak kan lah dia beli kereta Nissan??? Tak masuk akal langsung! Paling tidak pun beli kereta mewah mcm anak Medey Kerala tu

Comments are closed.