Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim menunjukkan modus operandi sindiket menyorokan dadah ditempat khas yang diubah suai didalam bonet kenderaan pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menumpaskan pengedaran dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Tindakan licik sindiket pengedar dadah mengubahsuai bonet kereta dengan ruang khas menelan kos RM5,000 untuk mengedar bekalan dadah dibongkar.

Dua suspek lelaki tempatan yang  membawa bekalan seberat 51 kilogram itu yang diperoleh di sebuah negeri di selatan tanahair ke ibu negara berjaya dicekup.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, suspek pertama lelaki tempatan berusia 57 tahun ditangkap hasil serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Taynton, Cheras disyaki sebagai pengedar dadah.

Katanya, serbuan dan tangkapan itu dilakukan pada 5 Mei lalu pukul 11.30 pagi menerusi operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur.

Suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau di bawah 39A dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan positif dadah syabu hasil ujian air kencing.

“Soal siasat lanjut ke atas suspek telah berjaya membawa pasukan kami ke sebuah rumah di Taman Damai Chitra, Alam Damai Cheras sebelum suspek kedua berusia 44 tahun dengan beberapa rekod kesalahan jenayah lampau.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu, polis berjaya merampas sejumlah dadah disyaki syabu seberat 43 kilogram dan ketamin seberat lapan kilogram bernilai anggaran RM2.26 juta mengikut harga pasaran semasa,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim menunjukkan barang rampasan kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menumpaskan sindiket pengedaran dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 07 MEI 2021.

Tambah Azmi, jumlah dadah yang dirampas itu boleh diedarkan untuk kegunaan seramai 52,000 penagih dadah.

Ditanya mengenai modus operandi mereka, beliau berkata,  sindiket berkenaan memperoleh bekalan dari sebuah negeri di selatan tanahair dan membawa dadah syabu dan ketamin itu dalam jumlah yang besar menggunakan kereta mereka yang boleh memuatkan maksimum 80 kilogram.

“Siasatan dan pemeriksaan ke atas dua kereta Toyota Camry milik yang disyaki digunakan kedua-dua suspek dalam kegiatan jijik itu mendapati, bonet tempat letak barang di belakang kedua-dua kenderaan itu telah diubahsuai khas dengan kos sebanyak RM5,000 di sebuah negeri utara, Pulau Pinang.

“Selepas diteliti pegawai penyiasat mendapati, kompartmen khas untuk menyimpan bekalan dadah itu boleh dibuka dengan teknik yang dikawal di tempat duduk pemandu iaitu perlu menutup kedua-dua cermin sisi dan menghidupkan pemanas tingkap belakang sebelum menekan punat khas yang diletakkan di penjuru kiri dalam bonet untuk membuka kompartmen itu yang ditutup dengan sistem pembesar suara sebagai mengaburi mata polis.

“Malah mereka mampu merentasi negeri untuk bawa bekalan ke ibu negara dari negeri selatan dengan alasan balik ke ibu kota kerana nombor plat kereta yang digunakan suspek adalah didaftar di Kuala Lumpur dan kita siasat bagaimana mereka boleh merentas ke selatan semenanjung untuk mendapatkan bekalan tersebut,” katanya lagi.

Menurutnya dalam kegiatan aktif selama tiga bulan itu, kedua-dua suspek berkenaan berperanan sebagai pembekal, pembeli dan juga penagih dadah dan akan melakukan tangkapan lain dalam masa terdekat sekiranya siasatan membawa kepada penglibatan suspek lain.

Kedua-dua suspek itu telah direman sehingga 12 Mei ini untuk membantu melengkapkan siasatan polis di bawah Seksyen 39B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mati jika disabitkan kesalahan.

“Kita juga berjaya melakukan rampasan wang tunai berjumlah RM3,095 daripada suspek dan juga dua kenderaan mereka anggaran bernilai RM122,000 brjaya disita selain sejumlah barang kemas berjumlah RM9,100 turut disita,” katanya.

Dalam pada itu kata Azmi, sepanjang empat bulan pertama tahun ini sehingga April lalu, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM24 juta dan sitaan harta bernilai RM6.6 juta milik suspek pengedar.

“Dalam tempoh berkenaan juga kita melakukan tangkapan ke atas 1,061 orang pengedar dadah dan 304 orang daripadanya telah diambil tindakan dan hukuman mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

“Dalam tempoh yang sama seramai 1,484 orang penagih dadah dicekup dan tindakan pencegahan dilaksanakan ke atas 35 individu di bawah ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985,” tegas beliau.- MalaysiaGazette