Tiga kampung dalam daerah Pasir Mas di Kelantan diletakkan bawah PKPD Ahad ini.

KUALA LUMPUR – Tiga lokaliti di daerah Pasir Mas, Kelantan akan diletakkan bawah pengawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 9 Mei ini.

Lokaliti itu melibatkan Kampung Paya Ular, Kampung Tualang dan Kampung Bechah Palas dalam Mukim Bunut Susu, Pasir Mas.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebanyak 120 kes positif telah direkodkan di tiga kampung itu, iaitu 42 kes di Kampung Paya Ular, 26 kes di Kampung Tualang dan 52 kes di Kampung Bechah Palas.

Pada masa sama, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan berlaku peningkatan kes secara mendadak, manakala kadar positif Covid-19 di tiga lokaliti itu adalah tinggi.

Ismail Sabri Yaakob

Kata beliau, penguatkuasaan PKPD di tiga kampung itu dilaksanakan selama dua minggu sehingga 22 Mei ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, tiga lokaliti yang dikenakan PKPD sebelum ini akan ditamatkan bermula hari ini esok.

Jelas beliau, lokaliti yang ditamatkan hari ini ialah Sekolah Menengah Sains (SMS) Banting, Kuala Langat dan Sekolah Menengah Sains (SMS) Machang di Kelantan, manakala lokaliti tamat esok ialah Kampung Muhibbah Raya, Tawau di Sabah.

“Penamatan PKPD di SMS Banting dan SMS Machang dibuat selepas KKM mendapati terdapat trend penurunan kes dan kluster terkawal di dua sekolah berkenaan.

“Manakala penamatan PKPD Kampung Muhhibah Raya pula dibuat selepas KKM berpuas hati dengan keputusan ujian saringan yang menunjukkan kes positif menurun berbanding sebelum ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, dalam operasi pematuhan SOP PKP semalam, seramai 486 individu ditahan atas pelbagai kesalahan.

Kata beliau, dari jumlah itu, 473 individu dikenakan kompaun, manakala 13 lagi direman.

“Seperti biasa, antara kesalahan dilakukan mereka ialah gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis seramai 183 individu, diikuti aktiviti pusat hiburan (136), tidak memakai pelitup muka 73 orang.

“Kesalahan lain yang direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal 15 orang dan lain-lain kesalahan 81 orang,” katanya. – MalaysiaGazette