Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad (tengah) dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid beramah mesra bersama Hazeri Abdul Hamid semasa menziarahi beliau di Tanjung Tualang, Perak baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menyalurkan manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian sebanyak RM19.08 juta kepada waris pendeposit SSPN-i sehingga 31 Mac lalu.

Ia melibatkan sebanyak 2,985 pendeposit di seluruh negara.

“Inilah keistimewaan SSPN-i yang memberikan manfaat perlindungan takaful percuma secara ringgit ke ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas jika berlaku kematian atau ilat kekal menyeluruh kepada mereka,” ujarnya PTPTN dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Malah PTPTN melalui Program Ziarah PTPTN Prihatin telah mengunjungi dua waris pendeposit SSPN-i untuk menyerahkan manfaat perlindungan takaful.

Penyerahan itu disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad dan diiringi Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Kunjungan pertama pada 27 April lalu adalah rumah suami kepada Allahyarhamah Wan Natrah Meor Abd Malik di Tanjung Tualang, Perak.

Wan Natrah, 56, telah meninggal dunia pada 15 Jun 2018 akibat perdarahan intrakranial. Beliau merupakan pendeposit SSPN-i yang telah membuka akaun pada 31 Disember 2013 untuk seorang anak lelaki beliau.

Ketika disahkan meninggal dunia, beliau mempunyai simpanan SSPN-i yang melayakkan beliau menerima manfaat perlindungan takaful percuma berjumlah RM3,122.56 yang bersamaan dengan jumlah simpanan serta khairat kematian sebanyak RM2,000.

“Ziarah PTPTN Prihatin yang kedua adalah pada 3 Mei lalu ke rumah isteri Allahyarham Muhamad Ashraf Abdullah di Gemencheh, Negeri Sembilan,” kata satu kenyataan PTPTN baru-baru ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad menyerahkan surat pengesahan manfaat perlindungan takaful kepada Rohani Pilus semasa Program Ziarah PTPTN Prihatin di Gemencheh, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Beliau merupakan pendeposit SSPN-i yang telah membuka akaun pada 8 Januari 2014 untuk anak perempuan beliau.

Beliau telah meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada 5 Julai 2017 ketika berumur 55 tahun.

Ketika disahkan meninggal dunia, beliau mempunyai simpanan SSPN-i yang melayakkan beliau menerima manfaat perlindungan takaful percuma dengan jumlah RM2,247.48 yang bersamaan dengan jumlah simpanan di samping khairat kematian sebanyak RM2,000.

“Sememangnya nilai manfaat ini tidak dapat menggantikan kasih sayang dan tanggungjawab sebagai seorang ibu atau bapa, namun simpanan di dalam SSPN-i dan nilai manfaat yang diterima ini dapat menampung kos pendidikan anak-anak yang
ditinggalkan,” kata kenyataan yang sama.

Kedua-dua pendeposit telah membuat pilihan yang tepat dengan membuat perancangan kewangan untuk masa depan pendidikan anak-anak melalui SSPN-i bagi memastikan pendidikan dan masa depan anak-anaknya terus terjamin walaupun mereka telah tiada.

SSPN-i turut menawarkan keistimewaan lain kepada pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, dividen yang kompetitif, simpanan dijamin oleh kerajaan, pemberian geran sepadan sehingga RM10,000
untuk satu keluarga dan patuh syariah.

SSPN-i ini diperkenalkan oleh PTPTN yang merupakan tabung pendidikan utama negara di bawah Kementerian Pengajian Tinggi
sewajarnya dimiliki oleh setiap isi rumah kerana menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat yang baik dan menyeluruh.

Sebarang maklumat lanjut boleh melayari www.lovesspn.com untuk membuka akaun SSPN-i.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast