KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan mengkritik Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melaksanakan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas cuti Hari Raya Aidilfitri ini.
Jawatankuasa itu melihat, tindakan KPM dibuat tanpa mempunyai pelan jangkamasa panjang, pelan kecemasan dan pendekatan lebih kreatif dalam menghadapi suasana kemiskinan digital dan kesenjangan akses kepada pendidikan dalam talian.
Menurut Pengerusinya, Dr. Maszlee Malik, tindakan itu jelas menimbulkan kegusaran ibu bapa dan guru, selain pelbagai keluhan dan kritikan yang diutarakan tiada maklum balas yang bertanggungjawab diberikan oleh KPM.
Beliau turut menyenaraikan isu disuarakan ibu bapa dan guru, antaranya penutupan sekolah secara pukul rata di seluruh negara selepas cuti Aidilfitri tanpa bersandarkan pada Sains dan data untuk mengenal pasti hotspot Covid-19.
“Ini menyukar dan membantutkan penyelarasan kerja pentadbiran di sekolah dan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) kerana dalam tempoh serta merta sekolah ditutup dan dibuka menyebabkan guru terpaksa melakukan sesi pembelajaran tanpa persediaan rapi.
“Kesannya, murid hilang tumpuan dalam pelajaran dan guru terbeban dengan kerja persiapan bagi kelas fizikal dan PdPR, sedangkan KPM perlu membezakan kawasan hijau dan selamat dari kawasan di zon merah, kuning dan berpotensi.
“Sistem HIDE boleh membantu KPM mengenalpasti sekolah yang sesuai ditutup ataupun tidak, manakala kawasan pedalaman dan luar bandar yang jauh dari jangkitan dan tiada kes serta pergerakan keluar dan masuk sepatutnya dibenarkan terus dibuka, kerana capaian internet tidak mencukupi untuk menjalani PdPR,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu turut dinyatakan bersama Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Teo Nie Ching (DAP) dan Datuk Dr. Hasan Baharom (Amanah).
Menurut Dr. Maszlee, KPM juga boleh menggunakan sistem penggiliran persekolahan dengan memberi contoh, bagi pelajar yang akan menghadapi SPM tahun 2021, dicadangkan menghadiri ke sekolah setiap hari.
Namun, katanya, bagi pelajar tingkatan 4, boleh hadir ke sekolah pada Isnin untuk PdPc, Selasa PdPR, Rabu PdPc, Khamis DidikTV, dan Jumaat ke sekolah untuk PdPc.
Menurutnya, ibu bapa risau PdPR dilaksanakan semula, masalah peranti dan capaian internet terus wujud, malah status program pemberian 150,000 peranti yang diumum 6 November tahun lalu tidak diketahui.
“Usaha kerajaan untuk meningkatkan capaian internet secara drastik di kawasan luar bandar juga tidak nampak kesungguhannya.
“Ini menimbulkan kerisauan ibu bapa dengan perkembangan pelajaran anak di sekolah yang akan ketinggalan dalam silibus sekolah akibat tidak dibenarkan ke sekolah berdasarkan keadaan pandemik yang semakin kritikal kini.
“Selain itu, tiada alternatif yang dicadangkan oleh KPM untuk membantu murid-murid dari segi pelajaran mereka, sedangkan sepatutnya setelah setahun berlalu, kementerian sepatutnya boleh menyediakan bahan pembelajaran kendiri kepada murid dengan pedagogi yang baharu dan fleksibel,” ujarnya.
Serentak itu, jawatankuasa berkenaan menggesa KPM bertindak proaktif melakukan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi memperbaiki keadaan.
Katanya, mereka juga mendesak agar segala cadangan dikemukakan bersama isu berkenaan dapat dilaksanakan kerana ianya merupakan suara hati rakyat, akar umbi dan pendidik.
“Sikap lengah membuat keputusan, berdiam diri dan bertindak tanpa mengambil kira pandangan rakyat dan pemegang taruh yang ditunjukkan oleh Menteri dan kedua timbalannya perlu diberikan titik noktah demi masa depan pendidikan anak bangsa,” katanya. – MalaysiaGazette
















