Kelab peminat Malu Apa Bossku santuni 60 individu memerlukan di kawasan perumahan Taman Abidin, Jelutong di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Seramai 60 individu yang dikategorikan sebagai golongan memerlukan disantuni kelab peminat Malu Apa Bossku (MAB Official) di sekitar perumahan Taman Abidin, Jelutong di sini hari ini.

Pegawai Khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Muhamad Mukhlis Maghribi berkata, sumbangan berbentuk barangan keperluan yang diberikan itu merupakan tanda prihatin beliau terhadap rakyat yang memerlukan bantuan walaupun bukan lagi bergelar perdana menteri.

Muhamad Mukhlis yang juga pengerak kelab peminat Malu Apa Bossku menegaskan, bantuan yang diberikan itu bukan sumbangan bermusim malah ia diagihkan kepada golongan memerlukan di seluruh Malaysia sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan pada Mac 2020.

Muhamad Mukhlis menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan di kawasan perumahan Taman Abidin, Jelutong di sini hari ini.

“Bantuan yang kita berikan ini bukan saja kepada golongan asnaf malah kepada mereka yang terkesan serta hilang punca pendapatan akibat pandemik Covid-19.

“Bantuan yang diberikan pula mengikut situasi keperluan berdasarkan maklumat yang diperoleh peminat kelab MAB di setiap negeri.

“Bagi Pulau Pinang saja sudah lima kali kami turun santuni pelbagai golongan, namun kekangan prosedur operasi standard (SOP) PKP menyebabkan agihan dibuat secara berkala mengikut kapasiti dewan yang disediakan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini.

Tambah Muhamad Mukhlis, walaupun bergerak atas tiket kelab peminat MAB pihaknya membantu semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. – MalaysiaGazette