Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob MCO burger seller stall RM50,000 compound Wan Mohd Faisal Wan Kadir KD Mahawangsa Covid-19 positive crewmen crew navy ship
Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Ketika petugas barisan hadapan bertungkus lumus menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19, masih ada segelintir individu yang tidak peka terhadap pematuhan prosedur pperasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bahkan, sejak akhir-akhir ini, kesalahan gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis terus mendahului senarai berbanding kesalahan lain.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini menunjukkan masih ada dalam kalangan rakyat bersikap sambil lewa, sedangkan virus Covid-19 kini sudah berada dalam komuniti.

Kata beliau, kegagalan pematuhan SOP bukan sahaja menyukarkan pihak berkuasa mengesan sesuatu kes, sebaliknya akan mendatang masalah kepada orang lain.

“Sebagai contoh, jika berlaku penyebaran kes, adalah sukar bagi pihak berkuasa mengesan siapa yang ada kontak rapat dan sebagainya.

“Sebab itulah kerajaan sentiasa menitikberatkan pematuhan SOP kerana ia mampu mengekang berlakunya penularan,” katanya dalam kenyataan harian Covid-19, hari ini.

Menurut beliau, dalam operasi pematuhan semalam, seramai 493 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 480 individu dikompaun, manakala 13 lagi direman.

Katanya, kerajaan telah mengarahkan polis supaya meningkatkan pemantauan pematuhan SOP di negeri dan kawasan hotspot yang dikenalpasti di bawah sistem HIDE.

“Langkah penguatkuasaan oleh agensi penguatkuasaan yang lain juga akan dipertingkatkan di lapangan,” katanya.

Mengenai kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata, menerusi Operasi Benteng semalam, pihak berkuasa telah menangkap 47 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas lima kenderaan darat.

Dalam operasi itu juga, katanya, sebanyak 126 bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui 10 aktiviti penglihatan.

Mengenai urusan temujanji rawatan di hospital, Ismail Sabri menjelaskan, sebelum ini kerajaan telah menerima rungutan daripada orang ramai mengenai perlunya mendapat surat kebenaran polis bagi urusan mendapatkan rawatan atau temu janji di hospital atau klinik.

“Ini telah menyukarkan mereka terutama pesakit yang memerlukan rawatan berjadual seperti kanser dan buah pinggang.

“Untuk makluman, bagi pesakit yang mempunyai temujanji doktor dan rawatan berjadual, cukup sekadar mengemukakan kad temujanji,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast