Penaung PELITAWANIS TNB, Datin Seri Noraini Abdullah (kanan) bersama Yang Dipertuanya, Datin Noor Aizah Abd. Karim (dua, kiri) menyerahkan bingkisan kuih raya kepada pemandu, Hassan Ngah Osman sambil disaksikan Mahdzir dan Ir. Baharin Din.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memastikan bekalan elektrik kekal stabil sepanjang Hari Raya Aidilfitri pada Khamis ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagi memastikan kesempurnaan itu, TNB meletakkan seramai 10,409 warga kerjanya dalam sektor kritikal bertugas dan berada dalam keadaan tunggu sedia.

“Pada waktu perayaan, anggota kerja TNB akan bertugas memastikan bekalan elektrik yang berterusan demi kebaikan masyarakat secara menyeluruh.

“Mereka akan bertugas ketika orang lain menyambut hari raya di rumah bersama keluarga. Ini sebahagian pengorbanan amat hebat yang saya amati sepanjang setahun berkhidmat sebagai Pengerusi TNB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengagihan bingkisan kuih raya Persatuan Wanita TNB (PELITAWANIS) kepada warga kerja TNB di ibu pejabat di sini.

PELITAWANIS TNB menyiapkan sebanyak 10,409 pek bingkisan kuih raya untuk diagihkan kepada warga kerja TNB yang bakal bertugas dan tunggu sedia di Semenanjung dan Sabah pada 1 Syawal ini.

Tradisi penyediaan dan pembungkusan bingkisan raya dilakukan TNB melalui PELITAWANIS sejak tahun 2005, sebagai tanda penghargaan kepada warga kerja yang bertungkus-lumus memastikan bekalan elektrik kekal selamat dan stabil sepanjang Aidilfitri, khususnya ketika negara masih berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Baharin Din berkata, tradisi selama 17 tahun itu diharapkan dapat memberi keceriaan kepada anggota kerja yang bertugas.

Kata beliau, kelangsungan pembekalan elektrik di negara ini didukung oleh khidmat bakti anggota kerja, baik di barisan hadapan mahu pun yang menyokong di belakang.

Beliau turut menasihatkan pengguna untuk terus memastikan amalan keselamatan elektrik dipatuhi sepanjang persiapan hari raya dan Syawal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast